Berita Harian

Tujuh hospital seluruh negara perlu 50 hingga 60 pakar kardio

-

Kuala Lumpur: Kira-kira 50 hingga 60 pakar dalam tiga bidang kepakaran kardio diperlukan bagi merawat pesakit jantung di tujuh hospital di seluruh negara yang menawarkan perkhidmat­an kesihatan jantung.

Tiga bidang kepakaran yang memerlukan jumlah itu adalah pakar jantung, pakar pembedahan jantung dan pakar bius.

Pakar berkenaan akan ditempatka­n di tujuh hospital iaitu Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Serdang, Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr S Jeyaindran, berkata ketika ini negara berdepan kekurangan pakar dalam bidang kardio sehingga menyebabka­n jumlah pesakit jantung yang berada dalam senarai menunggu untuk mendapat rawatan semakin meningkat.

“Untuk menjalani pembedahan jantung, kita memerlukan pakar jantung, pakar pembedahan jantung dan pakar bius.

Jumlah pesakit meningkat

“Bagaimanap­un, ketika ini kita hanya ada kurang 20 pakar dalam setiap bidang itu yang bertugas di tujuh hospital terbabit. Mereka ini terpaksa berdepan beban kerja yang banyak dan jumlah pesakit pula semakin bertambah.

“Disebabkan kekurangan pakar ini, kita terpaksa mendahului pesakit yang kritikal untuk mendapat pembedahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidanga­n Dwitahunan Pembedahan Pintasan Jantung dan Paru-paru Ke-9, di sini, semalam.

Dr Jeyaindran berkata, bagi mengatasi masalah itu, usaha dilakukan bagi menggalakk­an doktor muda menjadi pakar dalam bidang itu.

Beliau berkata, ibu bapa yang ingin mendapatka­n rawatan segera penyakit jantung anak mereka pula boleh menjalani pembedahan di India, malah sejak dua tahun lalu, kira-kira 100 pesakit sudah mendapatka­n rawatan dan program itu akan diteruskan untuk tempoh dua tahun akan datang.

Tubuh Pusat Jantung Negara

Katanya, Kementeria­n Kesihatan kini dalam proses menubuhkan Pusat Jantung Negara yang dijangka dibuka pada tahun 2020 di Hospital Serdang.

“Pusat rawatan ini menyediaka­n rawatan pesakit jantung dengan bayaran pembedahan paling rendah di Malaysia iaitu RM500,” katanya.

Mengulas penyakit difteria yang dialami wanita berusia 41 tahun baru-baru ini, Dr Jeyaindran berkata, perbincang­an mengkaji punca penyakit itu terhadap orang dewasa yang pernah mengambil vaksin sedang dilakukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia