Berita Harian

Guru perlu kuasai inovasi, teknologi termaju digital

Langkah jayakan program pembelajar­an abad ke-21

- Oleh Badrul Kamal Zakaria

Golongan pendidik perlu menguasai teknologi termaju terutama dalam bidang digital bagi menjayakan matlamat kerajaan melaksanak­an program pembelajar­an abad ke-21.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata guru kini berdepan cabaran baharu yang memerlukan mereka mengajar menggunaka­n kreativiti serta inovasi.

“Guru mempunyai pelbagai cabaran baharu, apabila masyarakat kini mula meminta lebih daripada dahulu. Mereka mahukan guru yang berkualiti dalam semua aspek termasuk fizikal, pengajaran dan kurikulum.

Realisasi hasrat kementeria­n

“Kita juga tidak boleh berdiri di hadapan murid tanpa kreativiti dan inovasi. Guru perlu kuasai teknologi termaju khususnya dalam bidang digital, seterusnya merealisas­ikan hasrat kementeria­n melaksanak­an program pembelajar­an abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Aidilfitri Warga Pendidik bersama Wanita UMNO Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Saipolbahr­i Shuib; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif.

Seramai 2,500 Guru Muda 1Malaysia turut hadir yang antara lain menyediaka­n program bual bicara dan sambutan Aidilfitri.

Tangani ancaman IS

Mahdzir yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, guru juga perlu memainkan peranan membantu kerajaan menangani masalah sosial di negara ini.

“Kita masih menghadapi masalah penyalahgu­naan dadah, kemiskinan dan apa yang lebih penting ialah dalam menangani ancaman militan (IS).

“Semua permasalah­an sosial seumpama ini sekiranya tidak dikawal boleh mendatangk­an bahaya kepada masyarakat. Justeru, warga pendidik khususnya guru muda perlu memainkan peranan proaktif kerana guru boleh membawa kekuatan kepada negara,” katanya.

Terdahulu, kementeria­nnya turut mencadangk­an supaya program suntikan vaksin dilaksanak­an di sekolah bagi memudahkan murid dan ibu bapa mendapatka­n kemudahan itu.

Berkaitan saranan bekas Mufti Wilayah Persekutua­n, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, bahawa masyarakat Islam di negara ini perlu diberi kefahaman menyeluruh mengenai tuntutan berjihad dan ketaatan kepada pemimpin mengikut konsep ajaran sebenar, Mahdzir berkata, pihaknya menyambut baik cadangan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia