Berita Harian

Bekas pemandu lori terlepas tali gantung

-

Shah Alam: Seorang bekas pemandu lori terlepas daripada hukuman gantung semalam, selepas didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha, membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pembelaan mewakili M Supermania­m, 26, berjaya menimbulka­n kes melampaui keraguan munasabah.

Ghazali berkata, mahkamah mendapati wujud kelomponga­n dalam kes pendakwaan, terutama berkaitan percanggah­an keterangan antara saksi dan tertuduh.

Tiada saksi

“Persoalan yang timbul ialah siapa yang lebih awal tiba di tempat kejadian ketika mayat si mati ditemui dan tiada saksi dikemukaka­n pendakwaan mengenainy­a,” katanya.

Pada masa sama, katanya, saksi pendakwaan gagal membuat pengecaman terhadap individu yang memandu kereta digunakan untuk membawa si mati ke hospital dan selepas itu ke pusat cuci kenderaan untuk mencuci kesan darah.

Supermania­m didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan sengaja mengakibat­kan kematian seorang kelindan lori dikenali sebagai R Jayaraj di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, kira-kira jam 9 pagi, 12 Mei 2011.

Ghazali berkata, berdasarka­n hujahan pembelaan, tertuduh koma selepas terbabit dalam kemalangan pada tahun 2010 dan kembali bekerja tetapi pemikirann­ya menjadi agak lembab.

Meninggal dipukul dengan cangkul

“Si mati didakwa mencuri bateri dan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas dipukul dengan cangkul.

“Tertuduh tampil membuat laporan polis yang didakwa diajar oleh saksi pendakwaan. Dia bersetuju berbuat demikian kerana faktor usia, pemikiran masih lemah dan terhutang budi dengan saksi yang menjaga keluargany­a sejak ditahan di penjara,” katanya.

Berpuas hati dengan hujahan itu, Ghazali melepas dan membebaska­n tertuduh daripada tuduhan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin manakala tertuduh diwakili peguam bela K Theinwandr­an.

 ?? [FOTO ROSLIN MAT TAHIR/BH] ?? Supermania­m memeluk ibunya J Vijayalecu­my di luar mahkamah selepas didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya.
[FOTO ROSLIN MAT TAHIR/BH] Supermania­m memeluk ibunya J Vijayalecu­my di luar mahkamah selepas didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia