Berita Harian

Abang sulung tanggung 11 adik yatim piatu

-

Jertih: “Saya jadi ibu dan bapa kepada 11 adik selepas kematian ibu pada Ogos tahun lalu,” kata Faizul Mohd Radzali, dari Kampung Tanjung Alir dekat sini.

Anak sulung daripada 12 beradik itu tabah dan bersabar mencari rezeki untuk menanggung kehidupan mereka sekeluarga.

Dia bekerja sebagai tukang cat kereta yang diusahakan secara kecil-kecilan, manakala adiknya pula menerima bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Faizul, 29, yang mempunyai seorang anak berusia 11 bulan, berkata sebagai abang sulung, dia ada tanggungja­wab yang amat besar.

“Saya bersyukur kerana isteri, Nurain Jamil, 27, berkongsi menguruska­n adik serta prihatin terhadap nasib mereka.

“Malah, pada Aidilfitri lalu, dia tidak pulang ke kampung halamannya di Kuala Lumpur kerana menguruska­n adik saya di sini,” katanya.

Sembilan masih belajar

Sembilan daripada 11 adiknya berusia enam hingga 22 tahun masih belajar termasuk seorang mengikuti pengajian di Kolej Universiti Bestari, Setiu dan seorang lagi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ibu mereka, Gayah Che Ahmad meninggal dunia selepas Aidilfitri tahun lalu. Bapa mereka, Mohd Radzali Daud meninggal dunia pada 2013 akibat kencing manis dan beberapa masalah kesihatan lain.

Tiga adiknya tinggal bersamanya iaitu Muhammad Irfan, 6; Muhammad Aizat, 9, dan Junaida, 11, manakala tiga lagi yang bersekolah menengah, tinggal di asrama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia