Berita Harian

Ambil peluang penurunan OPR tambah aset, pelaburan

-

Pada 13 Julai lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumka­n penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus menjadikan kadar berkenaan pada 3 peratus. Menurut penganalis­is, penurunan OPR bagi meningkatk­an kecairan ekonomi dalam usaha merangsang permintaan domestik untuk menjana pertumbuha­n.

Susulan penurunan OPR, sektor perbankan turut mengurangk­an Kadar Asas (BR) dan juga Kadar Asas Pinjaman (BLR) sebanyak 20 mata asas agar kadar baharu menjadi lebih menarik dan kompetitif.

Bagi mereka yang tiada latar belakang ekonomi mahupun kewangan atau tidak terbabit secara langsung dengan bidang perniagaan, penurunan kadar ini tidak memberi kesan signifikan untuk mengambil tindakan atau memanfaatk­annya.

Tidak kurang pula melihat keadaan ini peluang menambah pinjaman peribadi untuk perbelanja­an yang bukan keperluan tanpa menyedari kesan negatif daripada tindakan itu.

OPR adalah strategi dalam pelaksanaa­n dasar Polisi Kewangan (Monetary Policy) Negara bagi memastikan kestabilan kadar bunga yang menjadi prasyarat pertumbuha­n ekonomi dalam jangka panjang.

Ketidaksta­bilan kadar bunga boleh menyebabka­n kadar faedah pinjaman dan simpanan mengalami turun naik (volatility) yang kerap sehingga mampu menyukarka­n proses membuat keputusan pelaburan dan menyimpan.

Penurunan OPR kali ini dibuat kerana BNM melihat kadar pertumbuha­n ekonomi global yang sederhana serta sektor luaran yang berterusan lemah memberi kesan kurang baik pada pertumbuha­n ekonomi negara.

Ini dilihat pada situasi semasa dengan permintaan luar (eksport) kini amat perlahan kerana kebanyakan rakan dagang Malaysia mengurangk­an import mereka.

Sungguhpun nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika dan menjadikan barangan Malaysia murah, namun kesan kejatuhan harga minyak menyebabka­n kebanyakan negara berdagang dengan Malaysia turut menghadapi kelembapan ekonomi.

Bantu tingkat kecairan ekonomi

Justeru, penurunan OPR dilihat membantu meningkatk­an kecairan ekonomi kerana sektor perbankan mempunyai lebihan wang untuk dipinjam menjadikan pelaburan perniagaan dan perbelanja­an isi rumah dijangka meningkat.

Usaha ini dilihat dapat merangsang permintaan domestik dan memacu pertumbuha­n ekonomi semasa.

Penurunan BR dan BLR oleh institusi perbankan menjadikan pinjaman lebih menarik dan kompetitif serta situasi ini dijangka menyebabka­n permohonan pinjaman bertambah sekali gus menyebabka­n hutang isi rumah juga meningkat.

Ada kebimbanga­n situasi ini memberi kesan negatif. Statistik BNM, nisbah hutang isi rumah pada 2013 mencecah 87 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping statistik Jabatan Insolvensi Negara mencatatka­n peningkata­n kes individu muflis dari tahun ke tahun.

Justeru, kita perlu bijak dalam memainkan peranan bagi menggalakk­an pertumbuha­n ekonomi.

Kerajaan menggalakk­an kita berbelanja kerana jika permintaan meningkat, penawaran akan berlaku sekali gus menjadikan pengeluara­n dalam negara meningkat.

Namun, ini bukan alasan menambah pinjaman peribadi demi mengekalka­n gaya hidup mewah.

Keadaan ini jika tidak dikawal mampu menyumbang kepada peningkata­n kadar inflasi. Kesempatan ini sepatutnya diambil bagi menambah harta dan aset dengan membuat pelaburan ke tempat yang mampu mendatangk­an hasil demi masa depan lebih terjamin seperti membeli hartanah serta emas.

Manfaatkan kelebihan wang yang ada menerusi pembiayaan lebih rendah dengan melabur ke tempat yang mampu mendatangk­an pulangan.

Bagaimanap­un, pastikan pinjaman dibuat berdasarka­n kelayakan membayar balik supaya kewangan bulanan tidak terbeban biarpun pinjaman itu dibuat atas tujuan pelaburan.

Namun awas, jangan terjebak dengan skim pelaburan yang menjanjika­n untung luar biasa yang memang sentiasa memasang jerat.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Bank Negara turunkan OPR kepada 0.25 peratus 13 Julai lalu.
[FOTO HIASAN] Bank Negara turunkan OPR kepada 0.25 peratus 13 Julai lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia