Berita Harian

JDT tambah derita Bujang Senang

- Oleh Azmil Sulaiman

Petra Jaya: Keghairaha­n Sarawak memburu tiga mata penting berakhir dengan kekecewaan apabila tewas 2-1 ketika melayan kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Kelebihan beraksi di laman sendiri gagal dimanfaatk­an tuan rumah meskipun dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

Pelawat bagaimanap­un terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pertahanan import, Marcos Antonio yang menanduk masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-22.

Saingan pada awal babak pertama dilihat seimbang menyaksika­n kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dalam melakukan gerakan untuk melancarka­n serangan.

Melepasi palang

Skuad Bujang Senang cuba menyamakan kedudukan menerusi K Thanaraj pada minit ke-30, namun percubaann­ya melambung melepasi palang meskipun tiada tekanan diberikan pertahanan JDT.

Selang lapan minit kemudian giliran Junior Aparacedo untuk mendapatka­n gol penyamaan tetapi gagal selepas sepakan percuma yang disempurna­kannya sekadar menggegar kiri jaring.

Pelawat terus menambah derita skuad bimbingan David Usop apabila Aznie Taib meletakkan JDT selesa di depan pada minit ke-70 untuk mendahului 2-0.

Skuad Bujang Senang yang cuba bangkit pada sepuluh minit terakhir bagi memburu gol penyamaan menemui jalan buntu walaupun Shahrul Azwari Ibrahim berjaya menjaringk­an gol tunggal tuan rumah pada minit ke-77.

 ?? [FOTO NADIM BOKHARI/BH] ?? Pemain Sarawak, Gilmar Jose Da Silva berdepan penjaga gol JDT ketika saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.
[FOTO NADIM BOKHARI/BH] Pemain Sarawak, Gilmar Jose Da Silva berdepan penjaga gol JDT ketika saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia