Berita Harian

Zainal alih tumpuan ke Liga Super

-

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan tidak rela kehilangan mata di saat akhir permainan dan bakal melakukan perubahan di posisi penjaga gol pada aksi Liga Super menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya malam ini.

Zainal berkata, Khairul Azhan Khalid bakal diberi peluang untuk beraksi selepas Norazlan Razali bermain tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

“Selepas dua perlawanan, Norazlan mempamerka­n aksi cemerlang cuma pada perlawanan terakhir ada kesilapan,” kata Zainal ketika dihubungi semalam.

“Kemungkina­n besar Yan (Khairul Azhan) akan diberi peluang dan Norazlan dapat direhatkan selepas beraksi tiga perlawanan berturut-turut. Kedua-dua penjaga gol mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.

Selangor yang turun berdepan Pulau Pinang selepas keputusan seri 3-3 menentang Kelantan dalam aksi Piala Malaysia, dijangka akan lebih berhati-hati dalam memastikan tiga mata penuh dikutip.

Dalam aksi di Stadium Shah Alam Rabu lalu, Zainal menyaksika­n anak buahnya tercicir dua mata selepas mendahului 3-1 apabila Kelantan menyamakan kedudukan di akhir masa kecederaan menerusi pemain gantian, Abdul Manaf Mamat.

Letak harapan tinggi

Selangor yang kini di tangga ketiga Liga Super, lapan mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 33 mata, dan enam mata di belakang FELDA United FC di tangga kedua, perlu menang untuk memastikan jurang kekal rapat dengan dua pasukan teratas.

“Harapan saya tinggi untuk saingan Liga Super. Kami tidak rela kehilangan mata kerana ingin terus merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan di atas.

“Kami perlu berhati-hati bermain di tempat lawan dan juga tahap kecergasan pasukan lawan yang tidak beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

“Apa yang paling penting ialah pemain tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan yang berada di kelompok bawah,” kata Zainal.

Zainal berkata, dua tonggaknya – Ugo Ukah dan R Gopinathan – dilihat sudah bersedia untuk diturunkan malam ini, manakala pemain lincah, Andik Vermansah masih belum pulih sepenuhnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia