Berita Harian

Syafiq sasar emas ubati duka Olimpik

-

Kuching: Rasa terkilan tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik Rio, pada bulan depan masih dirasai penerjun kebangsaan, Muhammad Syafiq Puteh.

Namun dia menegaskan misinya kini terarah kepada mempertaha­nkan gelaran dalam acara 1 meter individu papan anjal di SUKMA Sarawak 2016.

Penerjun mewakili Perak itu berkata, slot kelayakan ke Rio di separuh akhir Piala Dunia Februari lalu sebenarnya terbuka, pun begitu rezeki tidak memihak kepada pasangan 3m papan anjal seirama negara ketika itu, Ahmad Amsyar Azman dan Chew Yi Wei.

Sekiranya Amsyar dan Yi Wei layak, slot individu 3m papan anjal di Rio akan diberikan kepada Syafiq yang bakal menyertai tiga acara di Sarawak - 1m dan 3m papan anjal individu dan platform individu.

Saingan lebih sengit

“Terkilan juga sebab saya juga ada ketika pasukan beraksi di Piala Dunia baru-baru ini.

“Sekiranya, Amsyar dan Yi Wei layak dalam acara 3m papan anjal seirama, maka saya pun berpeluang ke Rio.

“Pasukan sudah layak dalam dua acara, kalau 3m papan anjal seirama layak jadi ada lagi dua penerjun yang akan layak dan empat penerjun lelaki boleh disenaraik­an.

“Tetapi mereka tidak layak... saya redha sajalah. Apapun, saya akan terus dengan memberi tumpuan kepada SUKMA dan Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

“Kalau ada rezeki ke Olimpik di Jepun (2020), saya akan cuba yang terbaik di sana nanti,” katanya semalam.

Syafiq yang sudah enam kali berturut-turut menyertai SUKMA sejak berusia 12 tahun di Melaka pada tahun 2010 itu, berazam untuk mengekalka­n gelaran 1m papan anjal individu di Pusat Akuatik Sarawak Petra Jaya, kali ini.

Namun, dia menjangkak­an saingan lebih sengit bakal diterimany­a di sini terutama pencabar dari penerjun tuan rumah Sarawak, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Saya tidak mahu meletak keyakinan di sini tetapi berjanji akan buat yang terbaik. Apapun ini SUKMA terakhir saya. Pasukan juga ada meletakkan sasaran emas dalam acara itu kepada saya. Jadi saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia