Berita Harian

Amerika cuba campur tangan angkara gagal bina pengaruh

Kelompok, tokoh undang pihak luar gugat urusan negara dianggap pengkhiana­t

- Oleh Nazura Ngah

Kegagalan Amerika Syarikat (AS) membina pengaruh dan kekuatan di Malaysia, khususnya di Selat Melaka yang strategik dari segi geopolitik antara kemungkina­n kuasa besar itu cuba membuat desakan lain dengan mencampuri urusan negara ini.

Malah, tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS memfailkan saman sivil berkaitan kes 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) juga dilihat cubaan negara itu untuk menjatuhka­n pentadbira­n Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti pernah dilakukan terhadap rejim lain di dunia.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata AS mungkin melihat Malaysia sebagai negara yang memiliki kedudukan strategik di rantau ini, namun gagal dipengaruh­i untuk memberikan ruang bagi kegiatan ketenteraa­n seperti dilakukan pemerintah Singapura dan Filipina.

Beliau berkata, tindakan melampau AS dengan mencampuri urusan pentadbira­n negara lain seperti di Iraq membuktika­n negara itu bersedia melakukan apa saja untuk kepentinga­n mereka.

“Malah, laporan di Britain barubaru ini menyebut bekas Perdana Menterinya, Tony Blair perlu mempertaha­nkan dirinya berhubung kewajaran beliau dan bekas Presiden AS, George Bush memulakan peperangan di Iraq.

Selalu campur tangan

“Daripada peristiwa ini, kemungkina­n untuk AS cuba menjatuhka­n mana-mana rejim di dunia khususnya yang tidak senada dengan mereka ada kebenarann­ya.

“AS selalu campur tangan dalam urusan negara lain kerana beranggapa­n mereka memiliki kekuatan yang tiada pada pihak lain. Tidak mustahil AS juga cuba melakukan perkara sama terhadap Malaysia,” katanya.

Bulan lalu, DOJ memfailkan saman sivil bagi merampas aset lebih AS$1 bilion (RM4 bilion), termasuk hartanah mewah dan jet yang didakwanya diperoleh melalui dana 1MDB yang diseleweng­kan.

Dalam wawancara bersama stesen televisyen Indonesia Metro TV, minggu lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, saman sivil oleh DOJ itu tidak membabitka­n dirinya, kerajaan Malaysia atau 1MDB secara langsung, selain menegaskan isu itu dipolitikk­an oleh ‘musuh tertentu’.

Dibantu tokoh tertentu

Kok Seong juga tidak menolak kesungguha­n AS dalam mencampuri urusan Malaysia turut dibantu tokoh tertentu di negara ini yang sanggup memperjudi­kan nasib negara dengan menyalurka­n maklumat.

Sambil menyifatka­n tokoh dan kelompok yang cuba membiarkan kuasa asing campur tangan dalam pentadbira­n negara sebagai pengkhiana­t, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera demi menjamin kedaulatan negara.

“Pengkhiana­t sanggup menggadai maruah dan keselamata­n negara... kita tidak boleh berkomprom­i dengan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, prinsip tadbir urus yang baik adalah dengan memastikan sebarang isu yang berlaku dalam negara diselesaik­an dalam negara mengikut perundanga­n dan Perlembaga­an.

“Jangan sekali-kali membiarkan kuasa asing cuba mengganggu gugat kestabilan negara dan keharmonia­n rakyat,” katanya.

 ??  ?? Keratan akhbar BH 24 Julai lalu.
Keratan akhbar BH 24 Julai lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia