Berita Harian

Empat warga Indonesia dipenjara kes bakau

-

Taiping: Empat warga Indonesia terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh bulan selepas mereka mengaku bersalah menceroboh dan menebang pokok bakau secara haram di Hutan Simpan Kertang, dekat sini bulan lalu.

Andi Setiawan, 21; Eko Rahani, 29; Edi Supriyono, 33, dan Surohman, 33, diperintah menjalani hukuman itu selepas gagal membayar denda RM52,000 setiap seorang yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mereka mengaku salah atas dua pertuduhan.

Mahkamah mengenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar ke atas setiap tertuduh bagi tuduhan pertama, secara bersama menebang 493 batang pokok jaras bakau tanpa kebenaran di sebahagian Kompartmen 44, Pekan Simpan Teluk Kertang di daerah Larut dan Matang pada jam 1 petang, 24 Julai lalu.

Mereka yang tidak diwakili peguam dan didakwa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, melakukan kesalahan mengikut Perenggan 81(1)(b) yang boleh dihukum mengikut Perenggan 81(2)(b) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).

Enakmen berkenaan memperuntu­kkan hukuman denda sehing- ga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmad Dun.

Pertuduhan kedua

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhka­n hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan selepas mereka mengaku salah, secara bersama memasuki hutan simpan kekal di tempat dan masa sama tanpa mendapat kebenaran.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 47(1) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 47(4) enakmen sama yang dibaca bersama Seksyen 34 KK. Hukuman ialah denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut membenarka­n permohonan pihak pendakwaan untuk melucuthak barang bukti, termasuk 1,111 batang kayu jaras bakau dan dua alat pengangkut­an air yang dirampas dan menjadi barang kes kepada pihak Jabatan Perhutanan.

BH sebelum ini mendedahka­n kegiatan ‘lanun bakau’ yang menebang secara haram pokok di Hutan Simpan Sungai Baharu, Selinsing, dekat Bagan Serai. Penebangan pokok dilakukan warga asing yang didalangi tauke tertentu untuk dijual pada harga murah bagi kegunaan projek pembinaan.

 ?? [FOTO JALAL ALI ABDUL RAHIM/BH] ?? Empat warga Indonesia dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Taiping, semalam.
[FOTO JALAL ALI ABDUL RAHIM/BH] Empat warga Indonesia dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Taiping, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia