Berita Harian

Doktor pakar didakwa elak bayar cukai RM6.5 juta

Tertuduh tidak isytihar pendapatan RM25 juta bagi 5 tahun taksiran

- Oleh Siti Nurazlinee Azmi

Seorang doktor pakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas lima pertuduhan mengelak membayar cukai pendapatan RM6.5 juta.

Lt Kolonel (B) Datuk Dr Lee Chiang Heng, 57, membuat pengakuan itu melalui pekerjanya, Mohd Idham Omar, 32, yang mempunyai surat kuasa bagi mewakili orang kena saman.

Dalam surat itu, Dr Lee memaklumka­n tidak dapat hadir ke mahkamah kerana urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Sengaja elak bayar cukai

Doktor berkenaan didakwa secara sengaja dan dengan niat mengelak membayar cukai pendapatan daripada perniagaan klinik dan perkhidmat­an di sebuah hospital swasta, keseluruha­n RM25,063,265 yang sepatutnya dimasukkan dalam Borang Nyata (Borang B) bagi Tahun Taksiran 2007 hingga 2011.

Tindakanny­a itu menyebabka­n cukai yang boleh dikenakan kurang RM6,567,992.59, iaitu masingmasi­ng RM638,171.80 bagi tahun taksiran 2007, RM1,282,035.16 (2008), RM1,415,004.68 (2009), RM1,549,877.13 (2010) dan RM1,682,903.82 (2011).

Bagi semua kesalahan yang dilakukan di premis di Jalan Ampang, di sini, beliau didakwa mengikut Seksyen 114(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Jika sabit kesalahan, Dr Lee boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan membayar penalti khas tiga kali ganda daripada cukai yang terkurang bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mohd Shafuddin Hasan, manakala tertuduh diwakili peguam, Dir Kheizwan Kamaruddin. Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia