Berita Harian

Lelaki disyaki pemilik pistol kena tahan

Suspek dakwa senjata api dipinjam daripada rakan

- Oleh Nor Azizah Mokhtar

Polis menahan seorang lelaki dipercayai pemilik pistol yang digunakan dalam cubaan samun sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang, di sini, petang kelmarin.

Lelaki 32 tahun itu ditahan pada jam 11.30 malam kelmarin di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Setapak, susulan soal siasat ke atas seorang suspek yang berjaya ditangkap orang ramai ketika cuba melakukan jenayah samun pada kira-kira jam 6 petang itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superinten­dan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata suspek pertama mendakwa pistol jenis Revolver yang digunakann­ya dalam jenayah samun berkenaan dipinjamka­n seorang rakan.

“Semakan mendapati suspek kedua mempunyai beberapa rekod jenayah membabitka­n kesalahan berkaitan dadah dan pemilikan senjata berjadual. Nombor siri pistol itu didapati sudah dikikis, namun polis cuba mendapatka­n semula nombor siri senjata terbabit yang kini di makmal forensik,” katanya.

Perintah mahkamah

Bercakap pada sidang media, di sini semalam, beliau berkata, polis sudah memperoleh perintah mahkamah untuk menahan reman suspek pertama selama tujuh hari, manakala rakannya berusia 32 tahun itu direman tiga hari, keduaduany­a untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.

Dalam kejadian berkenaan, katanya, seorang lelaki meluru masuk ke kaunter pembayaran di dalam stesen minyak dan mengacukan pistol ke arah seorang pekerja warga Bangladesh sambil mengugut mangsa supaya menyerahka­n balang berisi wang tunai.

“Suspek hilang sabar dan cuba merampas balang mengandung­i wang hasil jualan kad prabayar berjumlah RM350 itu kerana pekerja berkenaan enggan bekerjasam­a sebelum berlaku pergelutan di antara mereka. Dua rakan sekerja mangsa yang juga warga Bangladesh kemudian menerkam suspek dari belakang.

“Penjenayah itu kemudian melepaskan tiga das tembakan, termasuk satu terkena seorang pekerja,” katanya.

Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 bagi kesalahan melakukan, cuba melakukan atau bersubahat melakukan sesuatu kesalahan berjadual, melepaskan tembakan dari senjata api dengan niat hendak menyebabka­n kematian atau kecederaan kepada seseorang. Sabit kesalahan boleh dihukum mati.

 ?? [FOTO AZHAR RAMLI/BH] ?? Mohamad Roy (tengah) menunjukka­n pistol yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO AZHAR RAMLI/BH] Mohamad Roy (tengah) menunjukka­n pistol yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia