Berita Harian

Senjata api digunakan penjenayah belum ditemui

-

Shah Alam: Polis belum menemui pistol yang digunakan penjenayah dalam insiden tembak dan tetak susulan kes cubaan mencuri motosikal di Flet Ken Rimba, Seksyen 16, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata tiga suspek kes itu bagaimanap­un sudah ditahan polis yang turut menemui semula dua bilah parang digunakan untuk menetak tiga penduduk flet berkenaan.

“Polis menahan dua suspek, masing-masing berusia 20 dan 25 tahun pada hari kejadian dan seorang lagi berusia 53 tahun awal pagi semalam (kelmarin). Penahanan tiga suspek ini kemudian membawa kepada penemuan dua bilah parang dan sebuah kereta yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Rampas 3 motosikal

“Selain itu, polis turut merampas tiga motosikal, masing-masing dua jenis Yamaha dan sebuah jenis Honda berhampira­n kawasan kejadian. Malah, salah sebuah motosikal dipercayai sama dengan motosikal yang dijejaki polis bersabit kes bunuh di Bukit Raja,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Shafien berkata, polis masih memburu lebih lima suspek yang disyaki turut mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Kita tidak tolak kemungkina­n kes ini ada kaitan dengan kumpulan gangster berdasarka­n rekod jenayah tiga suspek yang ditahan polis,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi Sabtu lalu, sekumpulan penjenayah menetak dan menembak tiga penghuni Flet Ken Rimba selepas cubaan mencuri motosikal dihalang penduduk berkenaan.

 ?? [FOTO ROSLIN MAT TAHIR/BH] ?? Shafien (tengah) menunjukka­n parang yang digunakan dalam kes samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.
[FOTO ROSLIN MAT TAHIR/BH] Shafien (tengah) menunjukka­n parang yang digunakan dalam kes samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia