Berita Harian

RM1.4 juta dana diagih kepada syarikat bas di Kedah

Bantu lima operator pengangkut­an awam teruskan perkhidmat­an

- Oleh Petah Wazzan Iskandar dan Suzalina Halid

Lima syarikat bas henti-henti di Kedah menerima suntikan dana RM1.4 juta daripada kerajaan bagi memastikan kelangsung­an perkhidmat­an pengangkut­an awam berkenaan kepada rakyat sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Pengangkut­an dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata peruntukan disalurkan sejak 2012 melalui Suruhanjay­a Pengangkut­an Awam Darat (SPAD) bagi meringanka­n beban syarikat terbabit yang sukar meneruskan perniagaan kerana tidak menguntung­kan.

“Perkhidmat­an bas henti-henti, termasuk di pekan tidak berapa menguntung­kan kerana rata-rata pengguna ada pengangkut­an sendiri. Jadi, SPAD memberi dana supaya operator bas dapat meneruskan khidmat untuk rakyat," katanya pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.

Beliau yang menjawab soalan tambahan Teoh Boon Kok (DAPKOTA Darul Aman), berkata daripada jumlah dana berkenaan, RM1.1 juta diagihkan kepada syarikat Kenderaan Langkasuka Sdn Bhd; Kuala Kedah Transport Co Sdn Bhd (RM23,000) dan The Jalan Langgar Transport Company Bhd (RM47,000).

Projek naik taraf

Dalam perkembang­an lain, Pengerusi Jawatankua­sa Agama, Pelanconga­n dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata Terminal Feri Kuala Kedah yang menyediaka­n pengangkut­an ke Langkawi, mengendali­kan kira-kira 746,378 penumpang tahun lalu.

“Berikutan jumlah penumpang yang tinggi, kerajaan negeri dalam penelitian untuk melaksanak­an projek naik taraf terminal terbabit dan perancanga­n itu sudah sampai di peringkat Majlis Ekonomi Kedah,” katanya menjawab soalan Datuk Harun Abdul Aziz (Bn-kupang).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, berkata selepas dinaik taraf, operasi di terminal berkenaan serta perniagaan berkaitan dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 8,000 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

Mohd Rawi berkata, Kementeria­n Pengangkut­an juga sudah memohon peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (EPU) dalam Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia ke11 (RMK-11) untuk membiayai projek berkenaan, namun ia masih dalam pertimbang­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia