Potensi perakaunan, cerah
Permintaan yang tinggi dalam bidang ini termasuk di luar negara
Kuala Lumpur: Bidang perakaunan sememangnya menjanjikan peluang kerjaya yang cerah di samping mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan tempatan mahupun luar negara.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan sasaran kerajaan melahirkan
60,000 akauntan menjelang tahun 2020 dapat dicapai, Universiti UCSI di sini, terus komited dengan menawarkan kursus Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan di universiti berkenaan.
Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan UCSI, Penolong Profesor Dr Ben Yap Chin Fook, berkata program selama tiga tahun itu membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam persekitaran yang selesa dan kondusif.
Beliau berkata, pelajar bukan setakat didedahkan dengan pengajian perakaunan dan kewangan sematamata. Malah, turut diketengahkan dengan aspek komunikasi dalam meningkatkan keyakinan diri.
"Untuk syarat kelayakan untuk memohon kursus ini, pelajar perlu mengikuti kursus asasi terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah.
Menggunakan bahasa Inggeris
"Program yang ditawarkan ini turut memperoleh Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya kepada BH Skor, barubaru ini.
Ben berkata, jurusan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar itu menyediakan tenaga pengajar yang berkualiti, diiktiraf di samping memiliki kepakaran tersendiri.
Beliau berkata, pelajar turut berpeluang mengikuti latihan industri selama dua bulan pada setiap tahun.
"Dalam tempoh tiga tahun pengajian, pelajar perlu menjalani latihan amali pada bulan November dan Disember setiap tahun," katanya.