Projek pembangunan, persekitaran perlu seimbang
Kualiti hidup masyarakat terutama di bandar besar di negara ini sedang melalui proses peningkatan ketara dengan salah satu keperluan utama dalam menjalani kehidupan harian ialah memiliki sekurangkurangnya sebuah rumah, sama ada dibeli atau disewa.
Mengenai isu pembinaan kondominium di Taman Pelangi, Sentul di ibu negara yang menjadi topik perdebatan ketidakpuasan hati penduduk berhampiran, ia sewajarnya mendapat perhatian pihak berwajib.
Rasa tidak puas hati dari pelbagai aspek yang dinyatakan, sejujurnya wajar difikirkan oleh pemaju dan pihak yang meluluskan pembinaan projek itu sejak awal lagi.
Sama ada kondominium, teres bertingkat, pangsapuri atau banglo, projek berkenaan perlu sejajar dengan persekitaran yang jadi asas pembangunannya.
Timbul pelbagai masalah
Pembangunan kondominium di Taman Pelangi adalah contoh daripada ribuan pembangunan perumahan yang mendatangkan masalah kepada penduduk sekitar dan akhirnya kepada bakal penghuni projek kediaman itu sendiri.
Pelbagai masalah akan timbul hasil ketidakpuasan hati penduduk yang mungkin membawa masalah lain pula, misalnya pergaduhan sesama sendiri dalam kalangan penduduk, menjarakkan hubungan antara kaum dan sebagainya.
Jika diperhatikan dengan mendalam, kebanyakan taman perumahan di negara ini tidak dihubungkan dengan sistem pengangkutan awam yang cekap. Ada ruang yang tidak dihubungkan di antara pengangkutan awam dengan tempat kediaman.
Jadi, kehidupan seharian penduduk bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian yang menyebabkan peningkatan dalam jumlah pemilikan kenderaan persendirian dan menuntut pula kepada keperluan tempat letak kereta yang tinggi.
Di negara kita, setiap rumah puratanya mempunyai sekurangkurangnya tiga kenderaan persendirian yang sudah pasti memerlukan ruang yang lebih luas untuk diletakkan.
Ia ditambah pula dengan tawaran pembiayaan pembelian yang begitu mudah untuk pembelian kenderaan persendirian oleh bank komersial dan kerajaan.
Di samping itu, infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik juga perlu dipastikan diperoleh secara berterusan oleh bakal penghuni kondominium kerana penyedia bekalan utiliti itu misalnya tidak dirunding sebelum pembangunan perumahan dijalankan.
Ia seolah-olah pemaju perumahan mengandaikan setiap perumahan yang mendapat kelulusan untuk pembinaan, pasti akan mendapat bekalan air dan elektrik tanpa mengambil kira jumlah penghuni dan keperluan mereka dalam kawasan perumahan yang dimajukan.
Andaian berkenaan timbul sedangkan ada kemungkinan kawasan perumahan sedia ada juga sering mengalami masalah gangguan bekalan air.
Justeru, semangat pembangunan mapan atau pembangunan lestari wajar dijadikan asas dalam setiap pembangunan mengikut skala berbeza-beza.
Pembinaan kondominium memberi implikasi berbeza terhadap asas perancangan, terutama pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), sama ada perancangan fizikal, sosial atau ekonominya.
Pembangunan lestari, kesejahteraan rakyat
Pembangunan lestari menghujahkan bahawa perlu keseimbangan dari segi aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial serta budaya masyarakatnya yang akhirnya membawa kepada kesejahteraan masyarakat keseluruhan. Kesejahteraan masyarakat pada peringkat inilah yang perlu dilestarikan.
Bukan pembangunan lestari namanya jika pembinaan kondominium yang diusahakan mendatangkan kesan buruk kepada satu pihak lain dan akhirnya masalah itu berjangkit ke pihak yang lain pula.
Pengalaman daripada kes lain, PBT sebagai peneraju dan pelaksana perlu memainkan peranan penting dengan mendengar keluh kesah masyarakat sedia ada di kawasan terbabit pada masa sama, perlu mengambil pandangan pemaju perumahan agar situasi menang-menang dapat dicapai.