PGA diarah gempur ‘laluan tikus’
Pasukan miliki bot sesuai buat rondaan di sungai
Pasukan Gerakan Am (PGA) diarah menggempur semua sungai, yang menjadi ‘jalan tikus’ kepada aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin, khususnya sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Tindakan itu susulan pendedahan mengenai kegiatan tekong darat, yang mendalangi penyeludupan pendatang tanpa izin, secara memanfaatkan sungai utama sekitar Sandakan, untuk menceroboh negeri ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, berkata PGA memiliki bot yang sesuai bagi membuat rondaan di sungai, selain menyertai rondaan laut dan perairan terbuka.
“Semua Komander Batalion PGA diarah meningkatkan operasi rondaan dan pemantauan termasuk di sungai, bagi memastikan sebarang aktiviti menjejaskan keselamatan, termasuk penyeludupan pendatang tanpa izin dipatahkan.
“Kita akan tingkatkan rondaan, termasuk laluan tikus di sungai kerana kita ada bot yang sesuai untuk meronda,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di PGA Briged Sabah di Kinarut, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Komander PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Zainudin Samsul Hadi.
Semalam, BH membongkarkan lima sungai sekitar Sandakan di pantai timur Sabah, menjadi laluan tikus untuk menyeludup pendatang tanpa izin dari selatan Filipina dengan mengambil kesempatan laluan air yang digunakan masyarakat setempat.
Lima lokasi pendaratan yang dikenal pasti adalah Sungai Batu 3, Sungai Batu 7, Sungai Batu 10, Sungai Padas dan Sungai Batu 12.
Perkukuh aspek rondaan di perairan ESSZONE
Muhammad Sabtu berkata, langkah itu selaras usaha PGA untuk memperkukuh aspek rondaan khususnya di perairan ESSZONE, termasuk di Sandakan yang terdedah kepada aktiviti penyeludupan termasuk kemasukan pendatang tanpa izin.
“Sebab itu kita bincang untuk tambah lagi rondaan menggunakan bot kita. Bagaimanapun, setakat ini kita ada sedikit kekangan dari segi rondaan, jadi kita terpaksa menggembleng lagi tenaga dengan semua agensi, termasuk marin.
“Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pula akan menyelaras rondaan
Menggunakan bot pam
kerana lebih cepat Menumpang bot nelayan Tonto menyamar sebagai kaki pancing atau nelayan
memantau pergerakan pasukan keselamatan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan tentera, jadi kita perlu selaraskan semula untuk mengukuhkan rondaan,” katanya.
Muhammad Sabtu berkata, dalam usaha memperkukuhkan kawalan keselamatan di seluruh negeri, sebuah lagi batalion baharu PGA akan diwujudkan di Kunak, Sabah, sebagai tambahan kepada lima yang sedia ada.
Beliau berkata, batalion keenam itu melengkapkan perancangan mewujudkan dua Briged PGA di Sabah iaitu Briged Barat dan Briged Timur, yang masing-masing menempatkan tiga batalion PGA.
“Kertas kerja penubuhan Batalion 21 PGA berpangkalan di Kunak sudah diluluskan dan dijangka diwujudkan tahun depan tetapi lokasinya belum diputuskan,” katanya.
Lima batalion PGA di Sabah ketika ini ialah Batalion 14 di Tawau; Batalion 15 (Sandakan); Batalion 16 (Kota Kinabalu); Batalion 17 (Lahad Datu) dan Batalion 20 (Beluran).