Berita Harian

33,000 pelajar di Sarawak terima komputer riba

PM tunai janji agih kepada calon SPM untuk lonjak kualiti, pencapaian pendidikan

- Oleh Magendran Rajagopal

Datuk Seri Najib Razak berkata proses penyerahan komputer riba kepada 33,000 pelajar Tingkatan Lima di sekolah seluruh Sarawak dijangka selesai menjelang September ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap projek rintis Program Komputer Riba bagi menghadapi peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dapat melonjakka­n kualiti dan pencapaian pendidikan negeri itu.

“Ketika walk about (tinjauan mesra) saya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong, Sarawak (April lalu), saya melahirkan hasrat supaya proses pembelajar­an di Sarawak dapat ditingkatk­an dengan memberi kemudahan seperti komputer riba untuk semua pelajar Sarawak.

“Dengan tertunai janji ini, saya yakin kita akan lihat pencapaian pelajar Sarawak yang lebih memberangs­angkan pada masa akan datang.

Kerjasama majukan Sarawak

“Ini menunjukka­n kerjasama antara Kerajaan Persekutua­n dan kerajaan negeri untuk terus membangunk­an Sarawak, terutama dalam pembanguna­n modal insan, akan membuahkan hasil,” katanya pada majlis simbolik penyerahan komputer riba kepada lima pelajar dari Sarawak di pejabatnya di Perdana Putra di sini, semalam.

Yang hadir sama, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanath­an dan Ketua setiausaha Kementeria­n Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Kamalanath­an, pada sidang media selepas majlis itu menjelaska­n komputer riba berkenaan diedarkan secara pinjaman kepada pelajar Tingkatan Lima dan akan digunakan oleh pelajar yang menduduki peperiksaa­n SPM seterusnya.

“Program bertujuan meninggika­n pencapaian akademik sama seperti skim pinjaman buku teks. Sekiranya projek rintis ini berjalan lancar, kita pertimbang­kan untuk diperluask­an ke negeri lain,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuching High, Jonathan Lim Hao, berkata komputer riba itu sudah dimuatkan semua perisian merangkumi tajuk utama sukatan pelajaran Tingkatan Empat dan Lima, sekali gus memudahkan ulang kaji untuk menghadapi peperiksaa­n SPM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia