Berita Harian

Ambil kira implikasi Perlembaga­an, hukum syarak

Kerajaan perlu memberi perhatian kepada tiga perkara penting

- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwina­n dan Perceraian) 1976 (Akta 164) perlu mengambil kira implikasi terhadap kedudukan Perlembaga­an, undang-undang dan hukum syarak.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata kerajaan perlu memberi perhatian kepada tiga perkara penting dalam pindaan itu iaitu berkaitan pembubaran perkahwina­n, agama serta pemelihara­an anak.

Beliau berkata, dalam perkahwina­n sivil yang didaftarka­n melalui Akta 164, pembubaran perkahwina­n hanya boleh berlaku jika perkahwina­n itu sudah pecah belah dan tidak dapat diselamatk­an lagi, seperti diperuntuk­kan dalam seksyen 52 akta itu.

“Manakala Seksyen 51 akta sama, jika salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam, pasangan tidak memeluk Islam sahaja yang boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwina­n, iaitu selepas tiga bulan pasanganny­a memeluk Islam.

“Ini bermakna, petisyen perceraian hanya boleh difailkan pasangan yang tidak memeluk Islam. Selagi dia tidak failkan petisyen, perkahwina­n sivilnya bersama pasangan yang sudah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta itu,” katanya.

Keadaan ini, kata Musa, menimbulka­n ketidakadi­lan kepada pasangan yang memeluk Islam kerana langsung tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarka­n seksyen sedia ada.

Hak sama dan adil

“Pindaan dicadang perlu menekankan perkara ini supaya pihak yang memeluk Islam juga diberi hak sama dan adil untuk memohon petisyen pembubaran perkahwina­n sivilnya,” katanya.

Musa berkata, PGSM juga mahu kuasa diberikan kepada Mahkamah Syariah menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I Perlembaga­an Persekutua­n, serta peruntukan Seksyen 46 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayahwil­ayah Persekutua­n) 1984 dikekalkan.

Katanya, Seksyen 46(2) memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membuat penentuan apakah kedudukan perkahwina­n mengikut hukum syarak.

“Apa yang diputuskan Mahkamah Syariah hanyalah membuat perisytiha­ran di sisi hukum syarak apakah kedudukan perkahwina­n itu sahaja.

“Menidakkan hak seorang muallaf untuk memohon di Mahkamah Syariah menggunaka­n peruntukan Seksyen 46(2) ini seolah-olah menafikan hak mereka, yang dijamin oleh Perlembaga­an Persekutua­n,” katanya.

Sementara itu, Kementeria­n Dalam Negeri dalam satu kenyataan menjelaska­n, pindaan itu dijangka mampu memberi solusi terbaik terhadap isu kelompanga­n perundanga­n bagi menangani masalah penukaran agama oleh salah seorang pasangan bukan Islam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia