Berita Harian

Mungkinkah Liverpool meratah Spurs malam ini?

-

Minggu lalu, juara liga, Liecester City dan naib juara, Arsenal buntu mencari gol di Stadium King Power. Di penghujung saingan kedua-dua pasukan akhirnya terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 0-0. Namun itu tidaklah mengejutka­n.

Sebaliknya, kekalahan Liverpool kepada Burnley di laman lawannya itu paling memeranjat­kan. Rasanya ramai penyokong setia mereka sesak nafas. Skuad bimbingan Jurgen Klopp tewas mengejut 0-2 kepada pasukan yang dianggap kerdil itu.

Pasukan pilihan lain seperti Manchester City, Manchester United dan Chelsea pula tiada masalah mengutip mata penuh pada aksi kedua itu untuk mengunggul­i empat teratas liga bersama Hull City dengan himpunan enam mata.

Bagaimana pula minggu ketiga ini? Adakah skuad The Foxes bimbingan Claudio Ranieri, The Gunners kendalian Arsene Wenger dan The Reds mampu bangkit dari kekecewaan itu?

Bagi minggu ini, aksi tumpuan tentunya adalah membabitka­n Spurs menentang Liverpool di White Hart Lane jam 7.30 malam ini. Mampukah The Reds mencuri mata dari gelanggang keramat lawannya itu?

Selepas dua aksi, Spurs menghimpun empat mata menerusi kemenangan 1-0 ke atas Crsytal Palace minggu lalu, selain seri 1-1 menentang Everton di Goodison Park. Liverpool pula, mengumpulk­an tiga mata selepas mengejutka­n Arsenal, 4-3.

Sukar ramal potensi The Reds

Setakat ini agak sukar untuk saya meramalkan potensi skuad The Reds ini akibat persembaha­n yoyo mereka. Selepas menang besar ke atas Arsenal pada aksi pertama, mereka dilihat sebagai calon untuk merangkul kejuaraan liga.

Namun kekalahan mengejut di tangan Burnley selepas itu jelas menggusark­an banyak pihak terutama di kalangan penyokong setia mereka. Adakah ini pasukan yang diharapkan mereka untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 26 tahun?

Kemenangan 5-0 ke atas pasukan kerdil, Burton pada pusingan kedua Piala Liga, mungkin mampu menyuntik motivasi Liverpool di White Hart Lane malam ini untuk menghampak­an barisan Mauricio Pochettino.

Tapi saya percaya bukan mudah untuk mereka meninggalk­an gelanggang Spurs dengan membawa pulang mata. Pemenang tempat ketiga kejuaraan liga musim lalu itu, pastinya ada resepi seperti dimiliki Burnley untuk mengecewak­an Klopp dan barisannya malam ini.

Dalam pada itu, Leicester dijangka berdepan laluan mudah dalam misi mengutip mata penuh apabila melayan Swansea City yang dikejutkan Hull City, 2-0 di laman sendiri minggu lalu sebelum bangkit menjinakka­n Peterborou­gh, 3-1 dalam aksi Piala Liga.

City turut dijangka berdepan situasi sama apabila menerima kunjungan West Ham. Kemenangan 4-1 ke atas Stoke City minggu lalu harus terus membakar semangat mereka untuk mengutip mata penuh.

United pula dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Hull di laman lawannya itu, dengan sekali lagi menyandark­an harapan kepada peledak mereka, Zlatan Ibrahimovi­c selain Wayne Rooney dan Paul Pogba.

Chelsea yang turut mencatatka­n kemenangan kedua minggu lalu sudah pasti tidak mahu senasib dengan Liverpool apabila melayan kunjungan Burnley. Saya ramal aksi ini memihak mereka. Selamat menonton.

 ??  ??
 ??  ?? Daniel Sturridge sandaran Liverpool untuk merobek gawang Spurs malam ini.
Daniel Sturridge sandaran Liverpool untuk merobek gawang Spurs malam ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia