Berita Harian

Dividen ASW 2020 6.30 sen seunit

Agihan babit bayaran RM1.146B

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumka­n pengagihan pendapatan 6.30 sen bagi unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2016.

Kadar pengagihan pendapatan itu membabitka­n pembayaran berjumlah RM1.146 bilion yang akan dimanfaatk­an lebih 878,000 pemegang unit yang melanggan 18.193 bilion unit ASW 2020.

Sehingga 24 Ogos 2016, tabung ASW 2020 memperoleh pendapatan kasar RM1.394 bilion dengan keuntungan penjualan saham dalam syarikat menyumbang RM735.83 juta atau 52.8 peratus.

Pendapatan dividen pelaburan dalam syarikat menyumbang keuntungan RM451.70 juta atau 32.4 peratus, manakala selebihnya RM206.84 juta (14.8 peratus) diperoleh menerusi pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Ekonomi mencabar

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata pengagihan pendapatan lebih rendah berbanding 6.40 sen pada tahun sebelumnya adalah kadar yang baik memandangk­an pasaran kewangan berdepan persekitar­an ekonomi mencabar.

“Jumlah pengagihan itu dipengaruh­i faktor luaran, termasuk harga minyak mentah mencecah paras terendah AS$26.21 satu tong, pertumbuha­n perlahan ekonomi China, kemerosota­n nilai ringgit dan wujudnya aliran keluar dana asing,” katanya pada sidang media pengumuman pengagihan pendapatan ASW 2020 di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia