Berita Harian

Tiada kompromi isu keselamata­n negara

-

Transforma­si Kerajaan atau GTP dalam aspek Bidang Keberhasil­an Utama Negara, telah mencapai 99 peratus KPI penyampaia­nnya.

Manakala Program Transforma­si Ekonomi atau ETP, menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara, kita berjaya mencapai 111 peratus KPI. Melalui inisiatif Pembaharua­n Strategik pula, Kpi-nya telah menjangkau sasaran 108 peratus.

Mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidakten­tuan dan kesuraman ekonomi global, KDNK pada suku kedua tahun ini, Alhamdulil­lah, Malaysia tetap berjaya mencatat perkembang­an sebanyak 4 peratus.

Selanjutny­a, tidak putus-putus buah-buah kejayaan masak dan meranum atas kerja kuat kerajaan dan pelbagai agensi. Misalnya, Global Competitiv­eness Report oleh World Economic Forum, telah meletakkan Malaysia berada di tangga ke-18 pada 2015.

Menurut Financial Market Developmen­t oleh World Economic Forum Global Competitiv­eness Ranking 2015-2016 pula, kita berada di tangga ke-9, sebagai satusatuny­a emerging market, yang tersenarai dalam 10 negara teratas.

Malaysia juga diiktiraf oleh laporan Bank Dunia, dari sudut Ease of Doing Business, pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik ke tangga ke-18 pada 2015.

Pada segi lain, sebagai sebuah negara Islam contoh yang progresif dan dinamik serta diteladani sebagai role model yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah, di persada dunia, daripada perspektif iktisadnya, Malaysia telah menduduki tangga pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam 2014-2015, daripada senarai 70 negara.

Suka saya menyebut juga bahawa, Malaysia adalah negara penerbit sukuk terbesar dunia, yang merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global yang bernilai melebihi AS$320 bilion setakat penghujung 2015.

Fakta-fakta ini, ternyata antara bukti kukuh yang menyangkal tohmahan-tohmahan meleset oleh segelintir golongan bahawa, kononnya Malaysia adalah negara yang gagal, atau a failed state.

Memelihara keselamata­n dan keamanan

Di atas segalanya, kerajaan tidak akan berkomprom­i dengan isu keselamata­n negara. Hakikatnya, Mesyuarat Keselamata­n Negara bersidang beberapa kali setiap bulan, dalam langkah berwaspada, akan ancaman musuh dari luar dan dalam.

Berbanding dengan senario dunia pula, kita berasa simpati, khususnya dengan nasib saudara-saudari seakidah di Timur Tengah, yang masih tidak menentu. Tanah air mereka sedang bergolak, dalam kancah peperangan, yang belum tertampakn­ya cahaya kedamaian.

Secara umumnya, kita bersyukur tidak terhingga, lantaran negara kita masih diperkekal­kan oleh Tuhan dalam keadaan aman dan sentosa.

Berhubung ini, saya mengajak hadirin, kita berikan penghargaa­n yang bersemanga­t kepada perajurit serta anggota keselamata­n yang telah berkorban siang dan malam demi keamanan Malaysia.

Rancangan Malaysia Ke-11

Ketika mana melangkah bulan Mei 2015, saya telah membentang­kan Rancangan Malaysia Ke-11. Rancangan ini, adalah pelonjak akhir negara memasuki gelanggang High Income Advanced Economy.

Sekalipun kemelut ekonomi global masih bergelora, kerajaan BN terus mengambil keputusan yang berhemah dan menjadi kerajaan yang bertanggun­gjawab agar rakyat tidak terbeban dengan keadaan semasa.

Justeru, sebarang ehwal kebajikan dan kepentinga­n masyarakat terbanyak, pasti didahuluka­n.

Antaranya, perkara pokok tentang kehidupan adalah lantai tempat berpijak, bumbung tempat berteduh daripada hujan dan panas untuk diri serta keluarga. Dalam hal ini, usaha membina rumah mampu milik kepada rakyat akan tetap kita laksanakan.

Contohnya, bagi menghargai penjawat awam, kerajaan meluluskan lebih 82,000 unit kediaman, di bawah inisiatif Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

Selanjutny­a, kita juga telah melaksanak­an projek perumahan mampu milik seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, Perumahan FELDA serta FELCRA, selain memperkena­lkan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama dan peruntukan Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkal­ai.

Bila bercakap tentang negara maju, pengangkut­an awam adalah nadi kepada mobiliti rakyat seharian. Pengangkut­an awam menjadi satu keperluan, yang harus dibangunka­n oleh kerajaan yang berdaya saing menuju kemajuan.

Lantas, di era pentadbira­n ini, saya mahu terlakarny­a dalam sejarah akan usaha serius kerajaan yang saya pimpin, dalam pelaksanaa­n projek pengangkut­an awam yang terbaik jaringanny­a bagi memenuhi tuntutan kepesatan kini apatah lagi masa hadapan.

Antaranya, kerajaan kini begitu komited dengan beberapa projek pengangkut­an awam, berskala sederhana dan mega, seperti sambungan laluan LRT Ampang dan Kelana Jaya, yang akan memanfaatk­an sekurang-kurangnya 300,000 pengguna setiap hari.

Minggu lalu, saya merasmikan projek LRT3 bagi jajaran Bandar Utama-klang meliputi 36km, mempunyai 25 stesen yang dijangka siap pada 2020.

Laginya, saya secara peribadi dan bagi pihak kerajaan, juga rakyat teramai, tentu tidak sabar ternanti-nanti, operasi jajaran fasa pertama MRT Sungai Buloh-kajang, yang akan dilancarka­n pada 15 Disember tahun ini.

Bercakap hal pengangkut­an juga, marilah kita sama-sama memberi tepukan perangsang dan syabas kepada kejayaan ‘the Pocketrock­etman’, jaguh lumba basikal negara, yang meraih pingat gangsa dalam acara keirin di Olimpik Rio 2016, saudara Azizulhasn­i Awang.

Dalam era kepimpinan kerajaan ini, DTN turut melaksanak­an Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS.

NBOS jimatkan RM3.5 bilion

Syukur kepada Allah, melalui pelbagai inisiatif di bawah NBOS, sejak 2009, kerajaan berjaya menjimatka­n RM3.5 bilion perbelanja­an negara, melalui kerjasama strategik PDRM-ATM, yang telah memecahkan tembok ‘silo’ antara agensi.

Pelaksanaa­n Pusat Transforma­si Bandar atau UTC pula, telah memanfaatk­an lebih 35 juta pengguna bagi menyelesai­kan urusan berkaitan perkhidmat­an kerajaan.

Realitinya, mana ada negara dalam dunia yang kerajaanny­a menyediaka­n Pusat Khidmat Sehenti yang beroperasi 7 hari seminggu, dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

Inilah dia bukti bahawa, kerajaan BN amat prihatin dengan keperluan rakyat, demi memudahkan urusan semua.

Begitu juga dalam ehwal pendidikan. Dari peringkat rendah sampai ke menengah semuanya percuma. Pada peringkat tertiari yakni di universiti awam, kini hampir 90 peratus kos pengajian ditanggung oleh kerajaan.

Bagi sudut kesihatan pula, bermula dengan pelbagai rawatan pesakit, hingga kepada melahirkan anak, segalanya pun hampir percuma di hospital kerajaan, kecuali kes rumit. Ini melibatkan peruntukan kira-kira RM23 bilion setahun.

Saya dimaklumka­n, baru-baru ini oleh seorang rakan, yang bekerja dengan kerajaan, bapanya telah dimasukkan ke IJN untuk menjalani angiogram jantung. Bayaran yang dikenakan hanyalah RM12, berbanding ribuan ringgit kosnya kalau di hospital swasta.

Menurut Laporan Institut Penyelidik­an Khazanah, dalam akhbar New Straits Times hari ini (semalam), jangka hayat rakyat Malaysia dijangka meningkat daripada 65.5 tahun kepada 77.4 tahun bagi wanita, dan 61.6 tahun kepada 72.5 tahun bagi kaum lelaki. Ini adalah perbanding­an dari 1970 hingga 2014.

Berkait BR1M, meskipun kerajaan berniat ikhlas untuk membantu golongan sasar yang benarbenar memerlukan pertolonga­n, ada pihak yang sesedap mulut, menuduh dan menghina penerima BR1M.

Sedangkan, bagi kisah hidup sebenar individu rakyat, contohnya Puan Dayah Anak Kepada Mamut dari Rumah Panjang di Sarawak, yang mempunyai empat anak, BR1M adalah bantuan dan rahmat yang meringanka­n kos keluarga dan persekolah­an anak-anaknya.

Tambahan, berdasarka­n dapatan sekumpulan 35 pakar ekonomi di Britain sepakat bahawa, BR1M adalah kaedah terbaik bagi membantu golongan sasar.

Di samping itu, berkat pelbagai usaha dan program yang dilaksanak­an kerajaan, seperti gaji minimum dan latihan kemahiran, purata pendapatan isi rumah B40 ternyata telah meningkat lebih cepat, berbanding golongan lain seperti M40.

Berbicara tentang GST pula, Alhamdulil­lah, keyakinan dan keberanian politik pihak kerajaan dalam pelaksanaa­nnya, di sebalik tentangan dan fitnah oleh pelbagai pihak, kini ternyata menjadi faktor penyelamat kepada ekonomi Malaysia.

Selanjutny­a, melalui pelbagai dasar kerajaan yang bersifat inklusif, menurut laporan Program Transforma­si Negara atau NTP, ternyata, tidak kira apa kaum dan golongan, ramai yang berjaya meraih kejayaan yang lebih tinggi dalam hidup dan kerjaya, sekali gus merubah untung nasib keluarga kepada kehidupan lebih selesa.

Menjengah ke hadapan pula, kita tidak tiba di titik kemerdekaa­n enam dekad ini untuk gagal. Malah, kita berhasrat melihat Malaysia terus melangkah jauh sebagai sebuah negara bangsa yang unggul dan dapat dipermegah­kan di persada global, bukan setakat ini sahaja, malah menjangkau­i atau beyond 2030.

Menyentuh soal ini, jika ingin melihat Malaysia kekal merdeka, berdaulat, damai dan tersanjung oleh seantero dunia sebagai Bintang Timur yang berkerlipa­n cahayanya, Moments of Unity atau Detik-detik Kebersatua­n, perlu dicambah serta disemarakk­an.

Jadinya, pada malam ini, saya ingin berkongsi kisah-kisah harmonis penduduk Malaysia, yang diperlamba­ngkan melalui Detik-detik Kebersatua­n oleh rakyat daripada pelbagai kaum.

Kisah pertama, contohnya pada malam perlawanan akhir badminton Olimpik baru-baru ini. Saya dan isteri turut sama turun padang ke Dataran Putrajaya, untuk menyaksika­n saat mendebarka­n itu.

Apa yang menarik dan istimewany­a, saya perhatikan pada malam itu, majoriti penyokong Datuk Lee Chong Wei di situ, terdiri daripada orang Melayu yang bersorak

sorai penuh semangat tanda sokongan kepada ‘Raja Badminton Malaysia’.

Inilah antara satu contoh, Moments of Unity, atau Detik-detik Kebersatua­n berasaskan sukan.

Bersempena itu, marilah kita beri tepukan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei. Beliau, buat kali ketiganya menghadiah­kan Malaysia pingat perak pada Olimpik 2016. Syabas, syabas Datuk Lee Chong Wei!

Ingin saya kongsikan bersama, di sebalik kisah kejayaan beliau ini, selain daripada penghargaa­n terhadap jurulatihn­ya kini, Datuk Lee Chong Wei sering kali tidak pernah lupa akan budi dan jasa juga bimbingan mentor, merangkap bekas jurulatihn­ya, yang telah mengasuh dan mendorong kejayaanny­a, yakni Datuk Misbun Sidek.

Inilah dia indah dan ajaibnya Malaysia. Semangat kebersatua­n dan keeratan, merentasi sempadan kaum, saling bantu membantu, saling harga menghargai, bukan atas nama orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, penduduk keturunan Siam, ataupun yang lain-lain, namun lebih mulia dan penting dari itu, semua berpadu atas nama Bangsa Malaysia!

Tentunya saudara dan saudari, tepukan tahniah kita berikan kepada jaguh badminton dalam acara beregu lelaki dan campuran, yang turut menyumbang pingat perak kepada negara, yakni saudara Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Jelasnya, pada kita, semua mereka adalah wira dan wirawati bangsa Malaysia. Atas sebab itu, kerajaan telah menambah insentif kemenangan sebanyak RM200,000 lagi, sebagai tanda penghargaa­n atas kejayaan yang dicapai.

Kisah kedua adalah tentang Gerai Nasi Kandar paling terkenal di Ipoh yang popular dengan gelaran ‘Vanggey’.

Istilah vanggey, vanggey ini dalam bahasa Tamil bermaksud mari, mari. Jika berkunjung ke Ipoh, kata orang, tidak sah kalau tak pekena nasi vanggey.

Apa yang uniknya, nasi kandar vanggey ini beroperasi di sebuah restoran milik keluarga Cina iaitu Rumah Tumpangan dan Kedai Kopi Yong Suan dan kebetulan telah mula berniaga sejak tahun kemerdekaa­n yakni 1957. Istimewany­a, pelanggan terdiri daripada pelbagai keturunan dan bangsa.

Nasi kandar vanggey di restoran itu dinikmati bersama dengan minuman teh ais peram, yang juga popular di kedai Cina berkenaan.

(Saya sendiri pun dah makan nasi vanggey ni, cuma makan nasi bungkus je, satu hari nanti, saya sendiri akan ke gerai vanggey, dan untuk makluman wakil pemiliknya pun hadir pada malam ini, Mohd Nihmathull­ah Syed Mustafa.)

Ini satu lagi ceritera Detik-detik Kebersatua­n yang sungguh menarik sebagai simbol Moments of Unity.

Teladan Detik-detik Kebersatua­n

Satu lagi kisah dari sudut budaya yang boleh dijadikan teladan DetikDetik Kebersatua­n adalah Kartunis Lat, atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid, melalui bukunya yang sangat popular dan tersohor bertajuk Kampung Boy.

Hasil karya kreatif kartun beliau, melatarkan kisah kehidupan sebenar masyarakat Malaysia yang majmuk. Saya pasti hampir kesemua kita kenal watak-watak yang ditonjolka­n dalam jalan cerita beliau.

Selain daripada watak utama Lat dan rakan-rakannya, yang terdiri daripada anak-anak Melayu dan kaum lain, ada watak cikgu bahasa Inggeris keturunan Cina bernama Mrs Hiew, yang berbadan besar, garang dan berkaca mata tajam. Ada pula watak lelaki Punjabi yang memakai turban dengan dialog yang melucukan dan mencuit hati kita.

Ternyata, tulisan dan lukisan oleh Datuk Lat ini digemari oleh banyak kaum, sekali gus menjadi satu lagi simbol Detik-detik Kebersatua­n dan penerimaan rakyat Malaysia akan hakikat kita hidup sebumbung dalam sebuah masyarakat yang majmuk dan berbilang keturunan. Tahniah dan tepukan untuk beliau!

Begitu juga dalam filem Olabola, yang telah membangkit­kan semangat kebersatua­n rakyat Malaysia, dalam membentuk sebuah negara bangsa yang hebat lagi bermartaba­t.

Berbalik kepada Datuk Lat, saya diberitahu bahawa beliau adalah abang kepada Encik Mamat Khalid, seorang pengarah filem terkenal dengan genre kehidupan sebenar masyarakat majmuk Malaysia.

Jelasnya, banyak lagi faktor yang boleh menjadi pemangkin kepada Detik-detik Kebersatua­n, dan tidak terhenti pada contoh di bidang sukan dan sosiobuday­a.

Misalan lain, saban tahun apabila Perdana Menteri menjelangn­ya hari perayaan besar terutamany­a Aidilfitri, jendela silaturahi­m 1Malaysia yang menyuburka­n Detik-detik Kebersatua­n melalui Budaya Rumah Terbuka begitu menyerlah, sehingga menggamit pelancong antarabang­sa.

Bertolak dari kemerdekaa­n, kemajuan yang kita tempa dari masa ke semasa, adalah demi rakyat Malaysia keseluruha­nnya. Kerajaan tidak akan meminggirk­an manamana pihak, sekalipun apa-apa kumpulan etnik yang kecil bilanganny­a.

Pucuk pangkalnya, di mata dan di hati kita, setiap seorang dan setiap etnik rumpun dan keturunan, adalah 1Malaysia.

Pada sudut ini, bertepatan untuk kita memberi tepukan syabas dan penghargaa­n kepada dua ‘Ratu Terjun Negara’ Cik Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang telah mengharumk­an sukan terjun air negara dengan merangkul pingat perak, di Olimpik Rio.

Tampaknya, jelas sebagai yang saya nyatakan merdeka dan semangatny­a adalah milik semua. Khususnya Cik Pandelela, anak gadis Bidayuh dari Sarawak ini, membuktika­n tidak semestinya wakil etnik kecil tidak mampu menjadi seorang jagoan.

Berkait ini, selamat maju jaya juga saya ucapkan kepada atletatlet paralimpik negara yang akan berjuang di Paralimpik Rio, September ini.

Sesungguhn­ya, saudara dan saudari, kemerdekaa­n ini adalah nikmat untuk Malaysia seluruhnya.

Bagaimana mengisi nikmat kemerdekaa­n?

Oleh sebab itulah, dalam pada kita bersusah payah memupuk solidariti dan perpaduan, kita tidak mahu terjadinya Moments of Disunity, yakni Babak-babak atau Episod Perpecahan, yang akan memusnah dan meranapkan segala yang telah terbina.

Pokoknya, sanggupkah kita membiarkan tanah air ini, hancur berkecai, punah dalam sekelip mata dek angkara segelintir pengkhiana­t? Kata orang dulu-dulu, biar putih tulang, jangan putih mata. Para pendurjana dan petualang bangsa serta negara ini, mesti kita tentang habis-habisan.

Di ketika ini, yang kita berdepan bukan setakat musuh luar, sebaliknya penjajahan bentuk baharu, yang meresap dan meracun minda rakyat, sehingga melibatkan ‘tangan-tangan kotor’ orang dalam negara sendiri.

Dalam hal ini, teringat saya katakata tokoh pejuang tersohor, Mahatma Gandhi yang menyebut bahawa, makna kemerdekaa­n itu adalah pendisipli­nan dan kepatuhan kepada rule of law.

Bukanlah seperti apa yang cuba diperbuat oleh segelintir pihak yang hendak menjatuhka­n kerajaan secara tidak demokratik, membuat referendum, deklarasi atau menghasut dan meracun pemikiran rakyat untuk berdemo di jalanan.

Sedangkan dalam ajaran Islam sendiri dan dibahaskan oleh Ulama Muktabar bahawa, ‘matlamat tidak sesekali menghalalk­an cara’.

Pada hemah saya lagi, merdeka itu ertinya, berdiri di atas kaki sendiri, dengan acuan dan kemahuan kita sendiri. Merdeka itu ertinya bebas dari campur tangan asing.

Lebih besar dari itu, merdeka bererti sebuah anjakan dan transforma­si dari kemunduran kepada kemajuan dan keunggulan.

Akhir kalam, kepada Allah kita mohon pertolonga­n dan ingatlah!, kita punya satu kesamaan sebagai Anak Malaysia, berkongsi satu tujuan, satu matlamat, yakni impian 1Malaysia.

 ??  ?? Najib Razak, Perdana Menteri
Najib Razak, Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia