Berita Harian

SPRM mula siasatan bapa ADUN DAP Sungai Pinang

Arah pegawai penyiasat kesan individu terbabit dalam rakaman video

- Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, memulakan siasatan berhubung tindakan bapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sungai Pinang, Lim Siew Khim, mengatur pemilikan hartanah pangsapuri kos rendah di Sungai Pinang, di sini.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abd Aziz Aban, berkata siasatan dilakukan sejurus pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu di laman sosial, dengan pegawai SPRM negeri sudah diarah mengesan individu berkaitan.

Katanya, siasatan itu akan membabitka­n bapa Siew Khim, iaitu Lim Kiat Seong, 68, dan beberapa individu lain yang terbabit dalam rakaman video klip yang kini menjadi viral di laman sosial.

Belum terima laporan

“SPRM negeri sehingga kini, belum menerima sebarang laporan berhubung perkara ini, namun kami sudah mengarahka­n pegawai penyiasat mengesan semua individu yang terbabit dengan isu ini.

“Kami juga akan memanggil beberapa saksi bagi kes ini untuk sesi rakaman percakapan dengan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Kelmarin, GERAKAN negeri mendedahka­n rakaman video klip berdurasi 5.21 minit yang menjadi viral di laman sosial, memaparkan perbualan Kiat Seong bersama dua lelaki sedang membuat rundingan, dipercayai berhubung pemilikan hartanah sebuah pangsapuri kos rendah di Sungai Pinang, di sini.

Dalam pada itu, Abd Aziz berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini, selain belum mengeluark­an arahan meminta Kiat Seong menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat SPRM negeri.

“SPRM perlu selidik dan fahami isu ini terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut dilakukan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia