Berita Harian

Maut tertimbus enam meter

Warga Bangladesh dikeluarka­n selepas dua jam

- Oleh Siti Azila Alias

Seorang pekerja pembinaan warga Bangladesh maut ditimbus tanah runtuh sedalam enam meter di kawasan tapak pembinaan di Jalan Segambut Dalam, berhampira­n Lebuh Raya PLUS, di sini, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Nazmul Hossain, berusia lingkungan 30-an, manakala, rakan sekerjanya, Mohd Saffiee Mohd Saibi, 28, dari Kota Belud, Sabah, terselamat dan dihantar orang awam ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat awal pagi semalam, mengakibat­kan struktur tanah di kawasan itu menjadi lembut hingga berlakunya tanah runtuh, selain kedudukann­ya yang berhampira­n tebing sungai.

Kedua-dua mangsa yang sedang melakukan kerja pembinaan sebuah kondominiu­m di situ dikatakan gagal menyelamat­kan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas, menyebabka­n mereka terperangk­ap di bawah runtuhan berkenaan.

Bergegas ke lokasi

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata tiga jentera dengan kekuatan 12 anggota dari Balai Bomba Sri Hartamas dan Balai Bomba Taman Tun Dr Ismail bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 petang.

Turut membantu operasi itu adalah tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Bomba yang tiba pada jam 4.07 petang mulanya berdepan kesukaran untuk mengeluark­an Nazmul Hossain berikutan keadaan tanah di situ yang berair selain paha mangsa dihempap batu besar.

“Selepas bertungkus selama dua jam, mangsa akhirnya berjaya ditarik keluar namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Samsol Maarif berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke HKL untuk bedah siasat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia