Berita Harian

Pemain ternama mula intai MU

- Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Ketika Melaka United (MU) hanya selangkah lagi menjuarai Liga Perdana sekali gus melayakkan diri beraksi di Liga Super musim depan, beberapa pemain ternama kini dikatakan mula mengintai tempat untuk beraksi bersama skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu.

Pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, senario itu satu perkembang­an sihat buat pasukan berkenaan yang sebelum ini tidak mendapat tempat dalam kalangan pemain terbaik di negara ini.

Katanya, imej baharu pasukan bimbingan Mat Zan berkenaan diharap terus menyerlah dengan sentuhan lebih bertenaga untuk dilabel sebagai skuad elit alam Liga Malaysia.

Kira bajet

Bagaimanap­un, katanya, pengurusan masih belum menentukan kedudukan pemain baharu atau menyenarai­kan mana-mana nama yang berminat kerana masih terlalu awal untuk merencana percaturan bagi saingan musim depan.

“Apapun kami tetap akan memberi keutamaan kepada pemain musim ini berdasarka­n prestasi dan situasi semasa termasuk kesesuaian mengikut perancanga­n jurulatih.

“Tidak semestinya semua pemain bertaraf bintang akan disenaraik­an atau berpeluang dipilih menyertai pasukan, disebabkan kami juga akan mengambil kira bajet dan keperluan posisi yang bersesuaia­n,” katanya.

Baginya, berikutan saingan liga masih berlangsun­g adalah tidak wajar untuk mendedahka­n lebih lanjut pemain yang berminat bersama MU musim depan tambahan masing-masing memiliki kontrak permainan dengan pasukan mereka.

Mohd Yusoff berkata, fokus MU juga terarah kepada baki tiga perlawanan liga selepas ini bermula dengan perlawanan berdepan Johor Darul Ta’azim II (JDT II) pada 9 September di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia