Berita Harian

Tekad harum nama negara

Memanah latih minda lebih fokus, bijak kawal emosi

- Oleh Nas Norziela Nasbah

Mengakui kekok saat diperkenal­kan sukan memanah dalam hidupnya, siapa sangka pemilik nama Hakimi Jumali, 17, kini bergelar atlet sukan itu sehingga mewakili Malaysia di kejohanan antarabang­sa. Mula membabitka­n diri dalam sukan memanah ketika berusia sembilan tahun, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) Kajang itu tekad untuk terus mengharumk­an nama negara.

Ikuti temu bual bersama atlet memanah itu untuk ruangan Remaja SKOR, minggu ini.

Ceritakan sedikit mengenai pembabitan awal anda dalam sukan memanah.

Saya mula menceburka­n diri dalam sukan memanah pada usia sembilan tahun. Ketika itu, ayah merupakan seorang pemanah bagi Selangor Bowmen Club. Saya begitu tertarik dengan permainan memanah yang memerlukan fokus dan disiplin tinggi. Ketika berada di sekolah rendah, saya mewakili kejohanan terbuka dan pernah mewakili sekolah sehingga ke Majlis Sukansukan Sekolah Malaysia (MSSM). Kejayaan saya mewakili negeri pada usia muda mendorong saya untuk tumpukan perhatian dalam sukan ini.

Keistimewa­an sukan memanah bagi anda?

Setiap sukan yang diceburi mempunyai keistimewa­an tersendiri. Bagi seorang pemanah, saya melihat memanah dapat melatih minda supaya lebih fokus dan mengawal diri. Memanah juga mengajar seorang pemanah itu untuk bijak mengawal emosi ketika sedang menjalanka­n latihan atau menyertai kejohanan. Selain itu, memanah merupakan sukan sunah Nabi.

Apakah kenangan manis yang boleh dikongsika­n bersama pembaca?

Kemenangan dan kekalahan adalah adat permainan. Pada usia 11 tahun, saya pernah memecahkan rekod pada jarak 30 meter dan mendapat juara keseluruha­n bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor (MSSS) untuk dua tahun berturut-turut. Saat mengalami kecederaan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan. Pada tahun 2012, saya mengalami kecederaan teruk pada bahu dan mengambil masa lama untuk pulih. Ketika itu saya berusia 14 tahun.

Harapan anda dalam sukan memanah?

Sebagai atlet, sudah tentu harapan memenangi pingat dalam setiap kejohanan menjadi impian kami. Saya berharap sukan memanah dapat membawa saya pergi lebih jauh seperti menyertai sukan antarabang­sa bertaraf dunia. Saya juga ingin merakam jutaan terima kasih kepada ibu bapa saya yang menjadi tulang belakang pembabitan aktif dalam sukan memanah ini. Mereka sentiasa memastikan peralatan memanah saya cukup dan berada dalam keadaan baik.

Bagaimana dengan jadual latihan anda?

Saya akan menjalani sesi latihan setiap hari iaitu selepas sesi persekolah­an bermula jam 4 hingga 6 petang. Pada sebelah malam, saya akan mengulang kaji mata pelajaran sendiri dan juga menghadiri kelas tuisyen. Tahun ini, saya terpaksa mengurangk­an aktiviti dan penyertaan dalam pertanding­an memanah kerana ingin menumpukan perhatian pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya juga akan menjalani latihan bersama kelab pada Sabtu dan Ahad.

Jika tidak memanah, apakah sukan yang mungkin anda sertai?

Mungkin sukan ragbi.

Saya melihat sukan ragbi mempunyai keistimewa­an tersendiri selain sifat juang pemain dalam satu pasukan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia