Berita Harian

Perak bukan kedua termiskin

Pendapatan isi rumah meningkat sejak Zambry tadbir negeri tidak seperti digambarka­n laporan KRI

- Oleh Shaarani Ismail

Berdasarka­n data dan maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukka­n pertumbuha­n purata pendapatan isi rumah Perak dari 2009 hingga 2014 meningkat dan berkembang 51.9 peratus, RM2,809 pada 2009 kepada RM4,268 pada 2014.

Sehubungan itu, laporan kajian Institut Penyelidik­an Khazanah (KRI) meletakkan 81.1 peratus daripada pendapatan isi rumah di Perak yang memperoleh pendapatan bawah RM6,000 dan seolah-olah menggambar­kan Perak sebagai negeri kedua termiskin, adalah satu gambaran yang salah.

Pengerusi Jawatankua­sa Industri, Pelaburan dan Pembanguna­n Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, berkata selepas Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengambil alih kerajaan negeri daripada pembangkan­g pada 2009, pertumbuha­n purata pendapatan isi rumah juga meningkat dan pencapaian itu adalah lebih baik berbanding negeri lain termasuk Selangor.

“Ranking dan kedudukan kita juga adalah lebih baik iaitu pada tangga kesembilan daripada 16, angka yang dikeluarka­n melalui laporan kajian KRI itu mengeliruk­an dan memberikan impak salah yang bukan sahaja memberi kesan kepada umum malah turut memberi kesan kepada pelabur.

Takutkan pelabur

“Selain itu ia juga memberi kesan kepada tanggapan yang diberikan masyarakat kerana dalam teori ekonomi, tanggapan yang negatif akan turut memberikan kesan kepada perkara lain termasuk akan menakutkan pelabur serta kesan yang lain,” katanya pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di sini, semalam. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Mazlan Khamis.

Sidang media itu dibuat bagi menjelaska­n kedudukan Perak yang dilaporkan sebagai negeri kedua berpendapa­tan rendah seperti laporan kajian oleh KRI yang dikeluarka­n kelmarin.

Mohammad Zahir berkata, mengikut laporan Jabatan Perangkaan, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dicatatkan di Perak juga adalah rendah iaitu pada 112.3 peratus pada Julai tahun ini dan ia lebih rendah berbanding indeks kebangsaan iaitu 115.7 peratus malah lebih baik daripada Pulau Pinang (116.1 peratus) dan Selangor serta Wilayah Persekutua­n Putrajaya pada tahap 116.2 peratus.

Katanya, ia jelas menunjukka­n walaupun pendapatan isi rumah tinggi dan IHP naik sedikit, kos sara hidup di Perak masih rendah dan kualiti hidup adalah lebih baik berbanding negeri lain.

Selain itu, katanya, Perak juga mencatatka­n kadar inflasi antara yang terendah pada 2015 iaitu pada kadar 1.77 peratus berbanding kadar kebangsaan 2.1 peratus dan lebih rendah berbanding Pulau Pinang (2.45 peratus) dan Selangor serta Wilayah Persekutua­n Putrajaya (2.34 peratus).

Mengenai kedudukan Perak membabitka­n jumlah rakyat termiskin, katanya, berpanduka­n data e-kasih, Perak pada tangga kelapan dengan 4,757 ketua isi rumah (KIR) daripada 2.44 juta penduduk adalah miskin, manakala 597 daripada 2.44 juta penduduk atau 0.74 peratus pula KIR miskin tegar dan kedudukan Perak juga kekal di tangga kelapan sehingga 30 Ogos lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia