Berita Harian

Wanita, anak maut jatuh tingkat 32

-

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah berusia 23 tahun bersama anak lelakinya berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 32 sebuah kondominiu­m di Bukit Jalil, semalam.

Kejadian di Residensi Kiara Jalil 2 itu disedari suami mangsa kira-kira jam 2 petang apabila terdengar bunyi benda terjatuh ketika berada di rumah di tingkat sembilan bangunan kondominiu­m berkenaan.

Lelaki itu yang memeriksa dari koridor kediaman, terkejut melihat isteri dan anaknya terbaring di tingkat bawah. Pemeriksaa­n awal mendapati dua beranak itu maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata polis yang memeriksa lokasi kejadian turut menemui telefon bimbit milik mangsa di tingkat 32 yang dijadikan kawasan rehat bagi penduduk.

“Menurut suami mangsa, mereka sekeluarga termasuk adiknya tinggal bersama di rumah itu dan mahu ke Karak sebelum kejadian. Isterinya kemudian memberitah­u mahu membuang sampah dan membawa bersama anak mereka, namun tidak kembali ke rumah.

Dengar bunyi dentuman

“Selepas lima minit isterinya keluar, suami mangsa meminta adiknya mencari wanita itu di tempat letak kereta kerana mahu mengemas barang.

Tidak lama kemudian, dia mendengar bunyi dentuman kuat dan apabila diperiksa isteri bersama anaknya terbaring di tingkat bawah,” katanya di sini, semalam.

Kok Sin berkata, suami mangsa juga mendakwa isterinya mengalami tekanan dan selalu sedih sehingga lelaki itu membawa wanita berkenaan mendapatka­n rawatan di hospital beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, mayat dua beranak terbabit dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 ??  ?? Anggota polis mengusung mayat mangsa yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 32 Residensi Kiara Jalil 2, Bukit Jalil semalam.
Anggota polis mengusung mayat mangsa yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 32 Residensi Kiara Jalil 2, Bukit Jalil semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia