Berita Harian

Mangsa dakwa dirogol polis minta saksi tampil

-

Kuala Lumpur: “Saya merayu kepada pasangan berbangsa Cina yang membawa saya ke balai polis untuk tampil membantu siasatan,” demikian minta seorang wanita yang mendakwa dirogol seorang anggota polis, Ahad lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Atie, berusia 30 tahun, mendakwa dirogol seorang anggota dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di Jalan Pudu, di sini.

Menurut Atie, sebelum kejadian, dia bersama suspek, yang baharu dikenaliny­a, keluar bersama untuk mengambil telefon bimbit miliknya yang hilang, dari seorang lelaki di Cheras.

“Selepas mengambil telefon bimbit saya, suspek yang hanya memperkena­lkan diri sebagai Radhi atau Pian, membawa saya ke sebuah pusat hiburan dengan alasan ingin menemui rakannya.

Minuman dicampur sesuatu

“Bagaimanap­un, saya mengesyaki minuman saya dicampur sesuatu sehingga menyebabka­n kepala saya pening, sebelum menyedari bahawa saya dibawa ke sebuah hotel,” katanya kepada BH semalam.

Katanya, dia bagaimanap­un meronta-ronta supaya dilepaskan sebelum bertindak menahan sebuah kereta yang dinaiki pasangan berbangsa Cina berusia sekitar 30-an yang melalui hadapan hotel berkenaan.

“Saya tidak pasti sama ada pasangan itu menaiki kereta Perodua Alza atau Viva dan mereka berhenti untuk membantu saya sebelum suspek turut masuk ke dalam kereta berkenaan.

“Pasangan itu kemudian membawa saya ke IPD Wangsa Maju dan mengarahka­n saya keluar untuk menyelesai­kan masalah saya kerana suspek mengugut mereka dengan menunjukka­n kad kuasa polis,” katanya.

Mangsa mendakwa, kerana gagal mendapatka­n bantuan, dia kemudian ditarik semula ke hotel berkenaan dan dirogol suspek.

“Saya juga sempat menahan sebuah kereta peronda polis yang keluar dari IPD Wangsa Maju, tetapi anggota berkenaan enggan melayan saya dan beredar selepas mereka berkemungk­inan mengenali suspek.

“Justeru, saya benar-benar berharap pasangan Cina yang membantu saya dapat tampil memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, mengesahka­n kejadian itu dan tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana anggotanya yang terbabit dalam jenayah.

“Setakat ini siasatan kes dijalankan Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia