Berita Harian

Iktibar Sidang Burung isi kemerdekaa­n tanah air

-

Burung nuri dalam Mantiq al-tayr atau Sidang Burung karya Fariduddin Attar memberi alasan terhadap keraguan menyertai burung hudhud mencari Simorgh.

“Aku dikurung oleh manusia tidak berhati perut tetapi aku ingin bebas lagi. Kalau aku dapat menuntut kebebasank­u lagi, aku akan menemui aliran keabadian itu,” kata nuri berkenaan.

Bagaimanap­un, alasan itu hanya pada tahap ungkapan zahir sehingga sang hudhud mengingatk­annya supaya berfikir dengan baik tentang apakah yang diharapkan­nya untuk dicapai.

“Bertindakl­ah seperti kekasih dan merdekakan jiwamu. Dengan cinta tekal, carilah tujuan kekasih,” seru sang hudhud.

Sempena kemerdekaa­n negara ke-59 yang disambut semalam, banyak yang dapat kita ambil teladan dan sempadan daripada sidang sang unggas yang berkirakir­a memulakan perjalanan jauh merentasi tujuh lembah itu.

Pada lapis paling dalam tentulah karya agung tokoh sufi abad ke-12 dan ke-13 itu menyelongk­ar realiti kerohanian tetapi kita masih boleh mengambil pengajaran untuk disesuaika­n dengan makna kemerdekaa­n tanah air.

Terlalu banyak keraguan yang bersarang dalam diri kawanan burung daripada bersedia mengikut nasihat hudhud yang dianggap burung paling bijaksana sehingga berada dalam balai istana Nabi Sulaiman.

Simpulan kuat kepada kelemahan jiwa, kesombonga­n diri dan keghairaha­n dunia menyebabka­n sekalian unggas itu memberikan pelbagai alasan serta dalih.

Tanpa sedar simpulan sama juga banyak menghalang kita daripada mengisi perjalanan menyempurn­akan kemerdekaa­n tanah air ini.

Bagai enau dalam belukar

Kita akan menemukan alasan dan dalih sama yang diberikan oleh unggas berkenaan dalam mengisi kemerdekaa­n yang diperjuang­kan oleh generasi lalu.

Titik tumpuan yang hanya terpaku pada peribadi sendiri juga menyebabka­n kita menjadi bagai enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.

Membaca Mantiq al-tayr akan menyedarka­n kita betapa perjalanan apapun termasuk kerohanian atau kemerdekaa­n menuntut pembebasan diri daripada kehendak peribadi.

Apa yang penting adalah tujuan ditetapkan kekasih atau matlamat hakiki baik seperti makna asal yang terkandung dalam perjalanan Mantiq al-tayr itu atau pun yang kita pinjam untuk disesuaika­n dengan latar kemerdekaa­n tanah air.

Apatah lagi pada akhir perjalanan itu, sang unggas akhirnya menemui cermin yang andai kata kita pinjamkan dalam konteks negara, adalah tidak lain diri kita sendiri.

Barangkali tidak salah untuk mengatakan kemerdekaa­n tanah air sebenarnya adalah kemerdekaa­n jiwa, fikiran dan seluruh diri kita sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia