Berita Harian

Ridhuan Tee hina atlet

Khairy nasihat penceramah bebas itu tidak beri komen lagi

- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatka­n kenyataan Ridhuan Tee Abdullah mengenai atlet yang memenangi pingat di Sukan Olimpik sebagai tidak bersifat patriotik dan sekadar menyertai temasya terunggul dunia itu untuk mendapatka­n ganjaran, sebagai satu penghinaan kepada atlet negara.

Beliau yang kecewa dengan kenyataan penceramah bebas itu memberi nasihat kepada Ridhuan Tee yang juga pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) supaya tidak lagi memberi komen berkenaan sukan kerana bukan bidangnya.

“Pendapat beliau tidak tepat dan saya rasa sangat kecewa dan marah bila membaca kenyataan berkenaan. Saya kenali atlet, mungkin dia tidak kenal.

“Lebih baik dia tidak komen sebab nampak sangat dia tidak tahu tentang sukan,” katanya.

Tidak kira bangsa

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Rizalman Mokhtar.

Khairy berkata, tidak kira atlet itu berbangsa apa, kesemuanya berjuang untuk memberi kebanggaan kepada negara di persada dunia.

“Tidak kiralah bangsa dan latar belakang, mereka berjuang demi negara, untuk buat andaian sebaliknya adalah satu kenyataan tidak bertanggun­g jawab,” katanya.

Ridhuan Tee menerusi kolumnya yang disiarkan sebuah akhbar tempatan pada Isnin lalu berkata, bidang sukan kini bagaikan perniagaan dan landasan untuk popular, bukan lagi melambangk­an patriotism­e.

Beliau menulis, atlet ‘ultrakiasu’ bersaing untuk mendapat habuan bukannya kerana semangat patriotik dan lebih menumpukan acara individu berbanding berpasukan dan menggesa supaya membentuk kepelbagai­an di kalangan atlet negara ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia