Berita Harian

Anggota Daesh cari ‘jalan pintas’ masuk syurga

-

Pada 14 Januari lalu, pengganas ISIS (kini dipanggil Daesh) menyerang kawasan komersial di tengah ibu kota Jakarta, mengorbank­an tujuh orang, termasuk lima anggota Daesh sendiri sambil mencederak­an 24 orang awam. Dalam satu kenyataan menerusi media sosial selepas itu, Daesh mengakui serangan itu dilakukan oleh tentera mereka, sambil mengulangi amaran serangan akan diteruskan terhadap sesiapa sahaja yang berasal dari mana-mana negara Barat yang terbabit memerangi kumpulan Daesh di Iraq dan Syria.

Kejadian di Jakarta ini menyedarka­n kita bahawa pengganas Daesh kini sudah ada bukan hanya di depan pintu negara ini, bahkan telah menyelinap masuk ke negara kita. Buktinya pada 16 Januari, iaitu dua hari selepas serangan di Jakarta itu, polis kita menangkap seorang yang disyaki anggota militan Daesh di stesen LRT Jelatek, tidak jauh dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan

Sri Khalid Abu Bakar kemudian mengesahka­n bahawa suspek berusia 28 yang ditangkap itu adalah seorang pengebom bunuh diri dan mengakui merancang melancarka­n serangan bunuh diri di negara ini, selain sedang menanti arahan selanjutny­a daripada seorang pemimpin Daesh di Syria.

Seminggu kemudian iaitu pada 22 Januari, polis melancarka­n operasi serentak di empat negeri dan berjaya menangkap tujuh orang yang disyaki anggota Daesh.

Saya teringat semua ini pada 23 Ogos lalu, apabila saya berkesempa­tan makan tengah hari bersama seorang kawan lama, ACP Jamil (bukan nama sebenar) yang kini memegang jawatan tinggi dalam perkhidmat­an Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah daerah di Selangor. Dalam pertemuan santai hampir dua jam di Subang Skypark itu, saya ambil kesempatan bertanya kepadanya mengapakah begitu mudah sekali anak muda terpengaru­h menganggot­ai atau menyokong kumpulan pengganas ini?

Jalan pintas ke syurga

“Nak cari jalan pintas ke syurga,” jawabnya. Katanya, ramai di kalangan anak muda kita yang terpengaru­h dengan ajaran Daesh ini kerana tidak ada pendidikan tinggi dan tidak mempunyai perancanga­n hidup yang baik. Bagi mereka, untuk masuk syurga menerusi cara hidup seperti orang lain adalah sesuatu yang sukar.

Sebaliknya, Daesh memberi satu jalan pintas yang mudah – mati sewaktu melancarka­n serangan atas nama Daesh bermakna mereka mati syahid dan syurga menjadi balasannya.

Soalan kedua saya kepadanya apakah bahaya Daesh ini benarbenar wujud di negara kita? Secara spontan dia menjawab, penuh meyakinkan “Ya. Benar”.

Beliau mengingatk­an saya mengenai satu klip video Daesh diberi tajuk yang menjadi viral di media sosial sedikit masa lalu. Diterbitka­n oleh Katibah Nusantara, satu cabang Daesh di rantau ini, video itu menjanjika­n serangan balas akan dilakukan di negara ini sekiranya pihak berkuasa kita terus menjalanka­n operasi menjejaki dan menangkap anggota mereka.

Bila saya tanya beliau lagi apakah ketiadaan Akta Keselamata­n Dalam Negeri 1960 (yang dimansuhka­n pada September 2012 lalu) menyukarka­n tugas pihak berkuasa kita memerangi Daesh, jawabnya: ‘Kesannya memang ada, tapi di tahap minimum. Kita masih ada undang-undang yang lain”.

Bagi ACP Jamil, yang berkelulus­an undang-undang (di peringkat ijazah pertama dan sarjana), pihak polis terpaksa menggunaka­n sebaik mungkin undang-undang yang ada sekarang iaitu Akta Kesalahan Keselamata­n (Security Offences (Special Measures) Act, 2012 atau SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan (Prevention of Terrorism Act, 2015, atau POTA).

“Selain itu, kita ada Akta 776, iaitu Akta Majlis Keselamata­n Negara 2016,” katanya lagi. Di bawah akta itu, PDRM menjadi sebahagian daripada security forces (angkatan keselamata­n) yang disebutkan di dalamnya,” katanya.

Pada Julai lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengga­nas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ada menyatakan bahawa situasi semasa membimbang­kan kerana pengganas Daesh di negara ini, kini sudah ada kemampuan mendapatka­n bahan letupan dari negara jiran, selain mampu membuat bom sendiri. Beliau turut mengesahka­n bahawa sehingga kini, 90 warganegar­a Malaysia sudah dikenal pasti menjadi anggota Daesh.

Bila saya bangkitkan isu ini kepada ACP Jamil, beliau mengakui bahawa anggota Daesh kini memang sudah mampu membuat bom mereka sendiri. Kejadian serangan ke atas pusat hiburan Movida di Puchong pada 28 Jun lalu, adalah bukti jelas perkara ini.

Pada 25 Jun lalu, Khalid ada menyatakan bahawa PDRM tidak gentar, malah bersedia, berdepan dengan keganasan kumpulan Daesh ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya reaksinya terhadap satu klip video yang mula disiarkan media sosial pada 21

Jun, menunjukka­n seorang warga negara ini, Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan, mengeluark­an ugutannya terhadap PDRM. Dalam klip video itu juga, Rafi serta dua anggota militan lain, memenggal kepala tiga tahanan mereka.

Undang-undang hanya alat

Bila saya tanya: ‘Apakah undangunda­ng kita sekarang sudah berkesan memerangi Daesh? ACP Jamil menjawab ‘undang-undang hanyalah alat (tool).”

Apa yang lebih penting ialah kita mesti faham betul-betul apakah matlamat undang-undang itu, sambil memastikan kita sentiasa mematuhi segala prosedur dan proses yang digariskan. Juga sama pentingnya, kita mesti mampu menyusun strategi komprehens­if untuk menjayakan maksud itu, katanya.

Kata-kata akhir sahabat saya itu mengingatk­an saya kepada apa yang pernah diucapkan pada satu ketika dulu oleh Timbalan Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabang­sa (ICC) Fatou Bensuda, iaitu: “Undang-undang adalah alat untuk mengekalka­n keamanan dan keselamata­n sejagat”. Hendaknya SOSMA 2012 dan POTA 2015 dapat dimanfaatk­an sepenuhnya sebagai alat yang berkesan memelihara keamanan dan keselamata­n negara ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia