Berita Harian

Nisbah pakar psikiatri, rakyat terlalu rendah

Kes kemurungan jadi penyakit kedua tertinggi di dunia empat tahun lagi

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Nisbah pakar psikiatri negara ini iaitu seorang bagi setiap 200,000 penduduk, adalah jauh lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO menyaranka­n keperluan seorang pakar psikiatri bagi setiap 10,000 penduduk, membuatkan Malaysia memerlukan kira-kira 3,000 pakar.

Namun, ketika ini, negara hanya mempunyai 190 pakar psikiatri di hospital kerajaan, manakala 170 lagi pakar di hospital swasta dan ahli akademik.

Kekurangan pakar terbabit dilihat kritikal, berikutan penyakit kemurungan diramalkan WHO, berpotensi menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia dalam tempoh empat tahun lagi.

Pakar Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurzuriana Md Zaki, berkata di negara maju, rawatan psikiatri disediakan klinik kesihatan dan pakar pula di hospital kerajaan, selain itu perkhidmat­an komuniti psikiatri berfungsi memberi pendidikan, saringan, rawatan serta pemulihan kepada pesakit mental.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukka­n 4.8 juta rakyat dewasa, remaja dan kanak-kanak negara ini mengalami masalah kesihatan mental. Walaupun puncanya tidak diketahui, namun kebanyakan keadaan ini disebabkan kombinasi faktor biologi, psikologi dan persekitar­an.

Masalah kewangan

“Sebagai contoh kecederaan atau ketidaksei­mbangan bahan kimia di dalam otak, genetik, jangkitan kuman, pengambila­n dadah, trauma, penderaan fizikal, seksual dan emosi, tekanan tempat kerja, masalah kewangan dan rumah tangga,” katanya kepada BH.

Dr Nurzuriana mengulas hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah yang mendapati, dua daripada 10 pelajar di negara ini, mengalami gejala penyakit mental yang teruk.

Katanya, gejala keresahan atau kebimbanga­n terlampau (GAD) paling tinggi peratusann­ya dalam kalangan komuniti, berbanding unsur lain.

Katanya, gejala ini termasukla­h kebimbanga­n, kemarahan tidak terkawal, ketegangan otot, mudah letih, sukar tidur dan sukar fokus terhadap sesuatu.

“Bagaimanap­un, ada juga penyakit keresahan yang lebih spesifik seperti serangan panik, gugup di khalayak ramai, fobia pada sesuatu keadaan atau objek,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia