Berita Harian

2 calon ujian PT3 antara empat remaja maut nahas

Motosikal mangsa terbabit dalam dua kejadian berasingan

- Oleh Siti Rohana Idris dan Syaherah Mustafa

Empat remaja termasuk dua calon ujian Pentaksira­n Tingkatan Tiga (PT3) maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dalam dua kemalangan berasingan di Kampung Belukar, Pasir Mas dan Jalan Bendang Morak, Tumpat, malam kelmarin.

Dalam kejadian pertama di Kampung Belukar Pasir Mas pada jam 7.30 malam kelmarin, Mohd Shahrul Nizam Mohd Zain, 15, dan Mohd Amirul Irwan Mezah, 19, maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung antara satu sama lain.

Masuk laluan bertentang­an

Ketua Bahagian Ketenteram­an Awam dan Trafik Pasir Mas, Asisten Superinten­dan Kheng Siong Lye, berkata motosikal ditunggang Muhammad Shahrul Nizam dari Kampung Kubang Bembam menghala ke Kampung Gaung dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentang­an sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang Mohd Amirul Irwan.

“Dua mangsa yang maut itu masing-masing berasal dari Kampung Slow Machang, Pasir Mas dan Kampung Geting, Tumpat serta meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya di sini, semalam.

Dalam kemalangan kedua di Kilometer 1, Jalan Bendang Morak di Tumpat pada jam 8 malam kelmarin, mangsa yang maut adalah Muhamad Haiqal Erfan Zainuddin, 17, dan Ahmad Zikrillah Mohd Zabidi, 15.

Kaki kanan hancur

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superinten­dan Zaharuddin Rasip, berkata kemalangan berlaku dipercayai akibat motosikal ditunggang laju sebelum terbabas dan bertembung, menyebabka­n kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

“Muhamad Haiqal Erfan parah di leher dan kepala, manakala Ahmad Zikrillah hancur kaki kanan, parah di muka serta patah tangan kanan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Ahmad Zikrillah, Wan Rakiah Wan Hassan, 54, berkata arwah adalah anak bongsu dan sangat manja dengannya.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah dan terkejut apabila dimaklumka­n anak meninggal dunia selepas terbabit kemalangan. Dia selalu menemani saya di rumah, namun saya reda kerana semua yang berlaku adalah takdir Allah," katanya.

 ?? [FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR/BH] ?? Kakak mangsa, Siti Zahidah menunjukka­n gambar adik bongsunya, Ahmad Zikrillah yang maut dalam kemalangan di kilometer 2, Jalan Bendang Morak, Tumpat.
[FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR/BH] Kakak mangsa, Siti Zahidah menunjukka­n gambar adik bongsunya, Ahmad Zikrillah yang maut dalam kemalangan di kilometer 2, Jalan Bendang Morak, Tumpat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia