Berita Harian

‘Mendiang ayah pendorong kejayaan dua pelajar’

-

Kajang: Pemergian ayah tercinta ketika mengikuti pengajian tidak mematahkan semangat dua penerima anugerah Majlis Konvokesye­n Infrastruc­ture University Kuala Lumpur (IUKL), di sini, semalam.

Sebaliknya, bagi penerima Anugerah Canselor, Lock Lee San, 24, dan Anugerah Naib Canselor, Cheng Jia Zhen, 22, kehilangan ayah menjadi pendorong untuk mereka berusaha dalam mengejar kejayaan.

Lee San berkata, mendiang ayahnya disahkan menghidap kanser paru-paru peringkat empat ketika beliau di semester lima.

“Saya begitu sedih dan mengalami saat getir atas kehilangan mendiang. Saya mengambil masa hampir sebulan untuk pulih daripada kesedihan atas pemergian ayah.

“Mujur saya mempunyai ahli keluarga, rakan dan pensyarah yang begitu memahami serta tidak putusputus memberi kata semangat sehingga saya berjaya seperti hari ini,” katanya.

Lee San adalah antara 968 graduan IUKL yang menerima doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesye­n Ke-14, di sini, semalam.

Ayah pembakar semangat

Jia Zhen yang tamat pengajian Diploma Kejurutera­an Elektrik dan Elektronik, pula berkata, kata-kata mendiang ayahnya yang mahu melihat beliau berjaya dalam setiap perkara dilakukan membakar semangatny­a untuk meraih Purata Nilai Gred (CGPA) 3.934.

“Saya masih ingat, mendiang ayah bersungguh-sungguh mahu melihat saya berjaya pada hari pertama saya mendaftar masuk ke IUKL.

“Ayah juga berpesan jika mahu berjaya, saya perlu berusaha dan tidak cepat putus asa,” katanya.

Anak kelahiran Selangor itu berkata, mendiang ayahnya sempat menghantar beliau pulang ke asrama sebelum diserang sakit jantung pada hari sama.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor IUKL, Prof Dr Roslan Zainal Abidin, berkata lebih 80 peratus graduan IUKL memperoleh pekerjaan tetap sebaik tamat pengajian.

 ?? [FOTO ADI SAFRI/BH] ?? Lee San (kiri) dan Jia Zen pada Majlis Konvokesye­n Infrastruc­ture University Kuala Lumpur (IUKL), Ke-14 di Kajang, semalam.
[FOTO ADI SAFRI/BH] Lee San (kiri) dan Jia Zen pada Majlis Konvokesye­n Infrastruc­ture University Kuala Lumpur (IUKL), Ke-14 di Kajang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia