Berita Harian

PENA perlu tumpu agenda kebajikan penulis

-

Kuala Lumpur: Kebajikan penulis perlu menjadi agenda utama kepimpinan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang akan dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunannya Ke-53 di Rumah PENA di sini, hari ini.

Sasterawan Negara (SN) dan bekas Presiden PENA, Datuk Baharuddin Zainal, berkata persatuan itu perlu menjayakan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang dilancarka­n pada Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Jitra, dua tahun lalu.

“Hingga kini nampaknya hal ini senyap. Saya fikir kewujudan Yayasan Penulis Malaysia akan memberi banyak faedah kerana bukan semua penulis ada pendapatan tetap dan kalau sakit, mereka tidak ada kemudahan perubatan.

“Jadi, PENA perlu buat program di luar kebiasaann­ya, manakala acara sedia ada seperti baca puisi, seminar dan dialog boleh diteruskan tetapi kebajikan penulis perlu diberi perhatian,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Wujudkan badan khas

Baharuddin berkata, mungkin pelaksanaa­n Yayasan Penulis Malaysia terhenti berikutan pertukaran Menteri Besar Kedah tetapi masih perlu untuk diteruskan.

Beliau berkata, PENA juga perlu untuk bersama dengan kelompok penggiat seni lain untuk mengusahak­an penubuhan badan khas menjaga kebajikan penggiat seni termasuk penterjema­h, pelukis dan pengarca.

“Kita perlu belajar daripada kes arca Puncak Purnama yang dimusnahka­n oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Kelompok penulis dan seniman perlu mewujudkan majlis bersama bukan hanya menjaga hal berkaitan hak cipta, bahkan menangani isu royalti, penipuan oleh penerbit dan cetak rompak.

“Hari ini penggiat seni tanah air hidup dalam kelompok sendiri sehingga kurang mengenali antara satu sama lain.

“Kita perlu bersatu dan menegakkan kepentinga­n bersama,” katanya.

Sempena mesyuarat itu, PENA akan mengadakan Forum Nasib Bahasa dalam Agenda Negara Bangsa bermula jam 9 pagi ini yang menampilka­n Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarak­atan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sarjit Singh; Pensyarah Jabatan Pengajian Tionghua, Universiti Malaya (UM), Dr Thock Ker Pong dan Pensyarah Kanan UM, Dr Abdul Rashid Mohd Saad.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia