Berita Harian

PBNP akur kena denda RM15,000

- - Oleh Asrol Awang

Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengenakan denda RM15,000 atas kesalahan penyokong membakar mercun dan melontar bom asap di Stadium Darul Makmur pada 12 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Perlawanan PBNP, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah berkata, pihaknya tidak akan membuat rayuan berhubung insiden terbabit.

Katanya, ini kerana sudah jelas bahawa berlaku insiden bom asap dan mercun dibaling penyokong yang menyebabka­n aksi perlawanan antara Pahang dan Kuala Lumpur pada aksi Piala Malaysia terhenti seketika pada babak kedua perlawanan.

"Pada masa sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan beberapa individu atas kesalahan yang mereka lakukan dan PBNP memutuskan tiada rayuan akan dikemukaka­n.

Kedudukan tidak terjamin

"Dari segi PBNP, kita akur dengan insiden terbabit dan kini mengharapk­an peminat Tok Gajah yang datang ke Stadium Darul Makmur tidak melakukan tindakan sedemikian selepas ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 12 Ogos lalu, segelintir penyokong skuad Tok Gajah didapati membakar mercun dan melontar bom asap ke atas trek ketika perlawanan antara Pahang dan Kuala Lumpur sedang berlangsun­g.

Kesannya, FAM mengenakan denda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman lebih berat jika mengulangi kesalahan sama.

Difahamkan, tindakan individu terbabit kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan PBNP dan pada masa sama, mereka mahu Razip Ismail selaku pengendali Pahang meletakkan jawatan.

Bukan saja Pahang terlepas aksi suku akhir Piala Malaysia musim ini, malah kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan juga belum terjamin dan jika gagal melonjak, Tok Gajah mungkin beraksi dalam Liga Perdana musim 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia