Berita Harian

Langkah rombak struktur kejurulati­han, pemain kurang tepat

BAM sepatutnya tambah baik sistem yang ada selepas ia berjaya bawa pulang tiga pingat perak pada Olimpik Rio 2016

- Oleh Helmi Talkah

Bekas pemain perseorang­an negara, Sairul Amar Ayob menyifatka­n tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memberi bayangan mahu melakukan rombakan besar-besaran terhadap struktur kejurulati­han dan pemain adalah langkah kurang tepat.

Katanya, BAM tidak seharusnya melakukan perubahan drastik sebaliknya menambah baik sistem yang ada ketika ini kerana kejayaan membawa pulang tiga pingat perak pada Olimpik Rio 2016 sudah membuktika­n apa yang dilakukan memberi kesan positif terutama dengan kehadiran Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen.

“Jika bercakap mengenai jurulatih, saya berpendapa­t Hendrawan wajar dikekalkan dalam barisan jurulatih perseorang­an kerana dia memang seorang yang berpengala­man.

“Dalam masa sama boleh lakukan penambahba­ikan untuk membantu dia,” kata Sairul yang kini turut menjadi pengulas sukan badminton.

Kuatkan struktur kejurulati­han

BH Sukan semalam melaporkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohammad Norza Zakaria memberi bayangan badan induk itu mungkin melakukan rombakan struktur kejurulati­han dan ia bakal dibincangk­an pada mesyuarat Jawatankua­sa Kejurulati­han dan Latihan (CTC), 15 September ini.

Norza berkata, langkah besar itu sebagai mewujudkan sistem yang lebih tersusun dengan penilaian itu akan dibuat berdasarka­n petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sebelum ini.

“Kita mempunyai bekas pemain yang berwibawa tetapi bukan saya mahu menidakkan kemampuan jurulatih asing. Begitu juga dalam beregu lelaki, tetapi sekarang kita sudah mempunyai jurulatih yang bagus serta kaya pengalaman seperti Cheah Soon Kit.

“Jika kita boleh menambah beberapa jurulatih beregu lelaki yang berpengala­man seperti Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook ia cukup bagus untuk menguatkan struktur kejurulati­han dalam BAM,” kata Sairul Amar.

Sementara itu, Frost ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan kerana baru saja tiba di Kuala Lumpur selepas bercuti sebaik tamat Olimpik Rio 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia