Berita Harian

KLHC, Sapura buru tiga mata

-

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mesti mempamerka­n aksi konsisten pada pusingan kedua Liga Premier Hoki Malaysia (MHL) - TNB bertemu Maybank hari ini jika pasukan itu mahu menjulang gelaran liga musim ini.

Pengurus pasukan, Ahmad Anuar Sham Kamar berkata, selepas lima perlawanan, mereka masih dalam landasan tepat untuk memenuhi sasaran itu meskipun sedikit terjejas kerana mencicirka­n mata berikutan seri dalam dua perlawanan sebelum ini.

Rentak kemenangan

KLHC ketika ini menduduki tangga kedua liga dengan meraih 11 mata, ketinggala­n hanya satu mata berbanding Sapura selaku pendahulu liga.

“Selepas meraih tiga mata ketika bertemu Maybank kelmarin, sudah tentu kami juga berharap barisan pemain dapat meneruskan rentak kemenangan ini bertemu lawan sama, hari ini.

“Malah, saya juga berharap prestasi konsisten ini akan berterusan sehingga ke akhir liga,” katanya.

Ahmad berkata, tiga pasukan teratas iaitu Sapura, KLHC dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak berada pada kedudukan selesa sekali gus boleh berubah jika pasukan tidak konsisten.

Peluang KLHC cerah

“Sebab itu saya amat berharap kami dapat meraih tiga mata pada setiap perlawanan yang dihadapi selepas ini.

“Jika ia berlaku, peluang untuk KLHC memenangi liga musim ini lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sapura, Yahya Atan berkata beliau juga mahu barisan pemainnya mengekalka­n kedudukan teratas liga perlawanan bertemu TNB, hari ini.

“Walaupun di pusingan pertama liga kami nampak selesa tetapi perlu diingat, pasukan lain pasti akan mengejar dan cuba memperbaik­i kedudukan apabila bermulanya pusingan kedua liga.

“Seperti pasukan lain, kami juga tidak mahu mencicirka­n sebarang mata,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia