Berita Harian

‘Dia pasti menangis jika tak dibawa ke gelanggang’

- - Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: "Dia akan menangis jika saya tidak membawanya ke gelanggang badminton," kata Goh Chak Whee, bapa kepada pemenang pingat perak beregu campuran sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil, Goh Liu Ying, 27, ketika mengimbau kembali awal pembabitan anak sulungnya itu.

Chak Wee, 59, berkata dia sudah membawa anaknya daripada tiga beradik itu bermain badminton seawal usia tiga tahun setiap kali bermain bersama rakan di sebuah dewan badminton di Batu Berendam di sini.

Beliau berkata, jika tidak membawa Liu Ying, pasti anaknya itu akan menangis teresak-esak sambil mencarinya di sekitar kediaman.

"Sejak itu, saya sentiasa membawanya ke gelanggang badminton dan sehingga usia lima tahun baru dia boleh main bersama saya.

"Pada usia 10 tahun, saya masih mampu menewaskan­nya, namun selepas itu sudah tidak berjaya lagi," katanya ketika ditemui pada program anaknya bertemu bersama kirakira 300 peminat di Bandar Hilir di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd Ridhwan Mohd Ali dan ibu Liu Ying, Yong Oii Lin, 53.

Sementara itu, Liu Ying berkata, untuk menjadi seorang pemain badminton yang baik, seseorang itu perlu mendapat pendedahan awal dalam acara perseorang­an.

"Acara itu (perseorang­an) akan membimbing pemain untuk lebih bersedia dalam segala aspek kemahiran, tenaga dan komitmen, sebelum mereka menyertai acara lain, termasuk beregu dan beregu campuran.

"Saya bertuah kerana mendapat dorongan awal daripada ibu bapa dan berharap lebih ramai lagi ibu bapa dapat memberi pendedahan awal kepada anak mereka untuk berjaya dalam apa juga sukan atau bidang yang diceburi," katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia