Berita Harian

Ilmu pasaran politik 3.0 bantu MIC hadapi PRU14

-

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), MIC secara umumnya akan menghadapi dua cabaran utama iaitu mengatasi masalah dalaman parti atau krisis kepemimpin­an yang timbul sejak 2013 dan mengurus persepsi negatif di kalangan komuniti India terhadap MIC dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam usahanya mengatasi krisis kepemimpin­an, barisan pimpinan baharu MIC kini membuka pintu bagi penyokong Datuk Seri G Palanivel, bekas Presiden MIC, untuk kembali masuk semula parti agar hanya wujud satu pasukan sahaja dalam MIC.

Ini sejajar dengan slogan baharu parti iaitu Single Voice, Common Goal bertujuan menyatupad­ukan ahli MIC bagi menghadapi PRU14.

Dengan usaha ini, diharapkan MIC dapat elakkan unsur sabotaj oleh ahli tertentu parti terhadap calon MIC dan BN dalam PRU14. Selain daripada masalah dalaman, kepemimpin­an baharu MIC juga perlu mengurus persepsi ne- gatif yang saban hari ditimbulka­n oleh kumpulan yang tidak bertanggun­gjawab dalam media sosial terhadap mereka dan kerajaan BN.

Timbulkan persepsi negatif

MIC dan BN sering kali didakwa pihak tertentu kononnya tidak begitu prihatin malah kurang membantu untuk mengatasi masalah sosioekono­mi kaum India. Tujuan kumpulan yang menimbulka­n dakwaan tersebut hanya sematamata untuk menimbulka­n persepsi negatif di kalangan kaum India agar mereka menolak BN dalam PRU14.

Namun, indikator sosioekono­mi kaum India jelas menunjukka­n bahawa langkah yang diambil oleh BN secara amnya dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sejak 2009 secara khususnya telah banyak membantu komuniti India meningkatk­an taraf hidup mereka.

Sebagai contoh, kadar kemiskinan di kalangan kaum India yang berada pada kadar lebih 60 peratus pada 1970an telah dikurangka­n kepada 2.5 peratus pada 2014. Pendapatan kasar isi rumah kaum India pada 1970 pula telah meningkat daripada RM194 kepada RM5,233, berpuluh puluh kali ganda pada 2014.

Malahan, komuniti India yang lebih dikaitkan atau dirujuk sebagai ‘buruh kasar’ pada satu ketika kini beransur-ansur menukar identitiny­a menjadi sebuah komuniti usahawan.

Subramania­m pemimpin popular, dapat sokongan

Sehubungan itu, bagi membantu dalam soal mengurus persepsi, pemimpin MIC pada peringkat akar umbi wajar didedahkan dengan ilmu ‘pasaran politik 3.0’, membabitka­n ilmu gerak saraf agar mereka mahir bukan sahaja dalam peranan menyampaik­an maklumat malah memujuk pengundi India menolak parti politik yang cuba mengaburi minda mereka agar menolak BN.

Ia dirasakan perlu, lebih-lebih lagi dalam suasana selepas timbulnya pakatan baharu di kalangan parti pembangkan­g yang diterajui Tun Dr Mahathir Moha- mad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tinjauan awal terhadap kepemimpin­an baharu MIC menunjukka­n, Datuk Seri Dr S Subramania­m adalah seorang pemimpin MIC yang popular dan disukai komuniti India kerana beliau dilihat sentiasa turun padang untuk mendamping­i anggota masyarakat bagi mengetahui dan menyelami kehidupan serta denyut nadi selain mengetahui keperluan komuniti berkenaan.

Tawan hati akar umbi

Jadi, dengan berbekalka­n imej positif itu serta sebagai pemimpin politik yang berpengala­man luas, imej dan reputasi beliau diharapkan mampu menawan hati dan minda sebahagian besar ahli MIC.

Berikutan itu, MIC perlu menterjema­hkan konsep Single Voice, Common Goal sebagai mantera perpaduan di kalangan komuniti India dalam usaha meraih sokongan pengundi masyarakat terbabit untuk menawan semua kerusi yang ditandingi MIC dalam PRU14 nanti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia