Berita Harian

Kuarters kerajaan hangus di pagi Aidiladha

-

Jerantut: Seorang kakitangan Pejabat Daerah Jerantut terpaksa membatalka­n hasrat menyambut Aidiladha bersama keluargany­a di kampung halaman, selepas kediamanny­a musnah dalam kebakaran di Kuarters Kerajaan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, Esah Abdul Rahim, 55, berada di kampung keluargany­a di Pekan dan terpaksa berpatah balik ke sini selepas dimaklumka­n mengenai kejadian berkenaan.

Esah berkata, walaupun sedih dengan kejadian namun dia bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa kerana jirannya juga tidak berada di rumah ketika kejadian.

“Saya terus bergegas pulang ke Jerantut selepas dimaklumka­n oleh jiran mengenai kejadian berkenaan, semuanya musnah dan saya mengalami kerugian kira-kira RM30,000.

“Paling penting tiada sebarang kemalangan jiwa kerana jiran saya juga kebetulan ke Kuala Lumpur untuk bercuti,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, jiran Esah, Nazrul Zainuddin, 21, berkata ketika kejadian dia sedang menonton televisyen dan tiba-tiba mendengar bunyi cermin pecah yang pada mulanya disangkaka­n suara daripada televisyen.

“Oleh kerana bunyi semakin kuat, saya terus menjenguk ke luar dan mendapati rumah jiran sedang terbakar... saya kemudianny­a menjerit meminta tolong selain mahu menyedarka­n penghuni rumah berkembar itu.

“Saya terus menghubung­i pihak bomba dan memberi bantuan awal memadamkan kebakaran dengan bantuan jiran lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerantut, Pegawai Kanan Bomba Osman Malek, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.28 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 3.47 pagi.

“Seramai sembilan anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan operasi tamat pada jam 5.18 pagi, punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia