Koperasi umum dividen 10 peratus
Kuala Lumpur: Koperasi Anak Sains MARA Berhad (ASMARA) yang dianggotai alumni pelajar dan bekas kakitangan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mengumumkan dividen sebanyak 10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari lalu.
Pengerusinya, Prof Emeritus Datuk Dr Md Mydin Md Sheriff, berkata agihan dividen itu hasil prestasi cemerlang koperasi yang membolehkan peningkatan pendapatan projek utama, sebahagian besar disumbang oleh perniagaan khidmat sokongan perdagangan antarabangsa di Indonesia.
Perkhidmatan ASMARA di Indonesia merangkumi perundi- ngan, pensijilan, logistik dan sokongan pengedaran yang diakui amat bermanfaat oleh pengeksport khususnya kumpulan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.
“Pasaran Indonesia secara tradisinya adalah antara pasaran paling sukar ditembusi di dunia. Produk sensitif seperti makanan dan farmaseutikal memerlukan pensijilan rumit untuk diperoleh sebelum dapat dijual secara terbuka.
“Usahawan memerlukan platform seperti ASMARA yang mempunyai hubungan baik ramai pemimpin daerah seperti Walikota Bandung, Cimahi dan Bupati Purwakarta yang menguasai ka- wasan industri kreatif strategik,” katanya pada majlis ASMARA Business Event (ABE) 2016, baru-baru ini yang turut dihadiri, Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Hawa Mohamed Salleh.
Projek The Little Bandung
Md Mydin berkata, dalam tempoh tiga tahun akan datang, ASMARA akan membangunkan beberapa platform di Indonesia dengan kerjasama Walikota dan Bupati.
“Projek pertama membabitkan pembangunan 200 cawangan The Little Bandung yang akan bermula Oktober ini, bermula dengan cawangan di Anggerik Mall Shah Alam,” katanya.