Berita Harian

Sedia terima tawaran penaja

-

Kuala Lumpur: Pelajar tahun akhir bidang perubatan dari Universiti Zagazig, Mesir, Ahmad Azim Maskury, yang berdepan penyingkir­an kerana tunggakan yuran RM64,000 sedia menerima tawaran pemilik syarikat tempatan yang sudi menaja pengajiann­ya.

Ahmad Azim, 24, dari Kota Bharu, Kelantan, berkata beliau berterima kasih kerana ada pihak bersimpati dengan nasibnya yang berdepan masalah membayar kos pendidikan bagi Tahun Lima dan Enam pengajian itu.

Beliau mengesahka­n menerima pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada wakil syarikat berkenaan kelmarin dan sudah memaklumka­n perkara itu kepada bapanya, semalam.

“Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang ingin dihulurkan, namun ia memerlukan perbincang­an lanjut terutama berkaitan syarat yang mahu saya berkhidmat sebagai doktor di klinik milik syarikat itu di Kuala Lumpur sebaik tamat belajar.

“Syarikat itu perlu menunggu saya habiskan terlebih dahulu latihan siswazah selama dua tahun di hospital kerajaan, sebelum memperoleh pengiktira­fan sebagai pegawai perubatan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Khidmat wajib dua tahun

“Sebaik tamat latihan siswazah, saya perlu memberi khidmat wajib kepada hospital kerajaan selama dua tahun. Namun, saya sedia berkhidmat dengan klinik itu secara sambilan sehingga khidmat dengan hospital kerajaan tamat,” katanya ketika dihubungi BH.

Mengikut Akta Perubatan 1971, pelajar yang tamat pengajian dari mana-mana sekolah perubatan perlu menjalani latihan siswazah selama dua tahun di bawah seliaan doktor senior di hospital kerajaan, sebelum ditauliah MMC bagi mendapatka­n Sijil Perakuan Pendaftara­n Penuh sebagai pegawai perubatan.

Sepanjang tempoh latihan siswazah itu, doktor pelatih terbabit dilarang melakukan kerja sambilan atau berkhidmat dengan mana-mana klinik swasta.

Bagaimanap­un, sebaik ditauliah MMC, pegawai perubatan boleh melakukan kerja sambilan di klinik swasta kerana perlu berkhidmat wajib dengan hospital kerajaan selama dua tahun sebelum menjadi pegawai perubatan bebas.

Semalam, BH melaporkan sebuah syarikat tempatan HM Holdings Sdn Bhd sedia menaja sepenuhnya pengajian Ahmad dengan syarat pelajar itu berkhidmat untuk tempoh tertentu di klinik yang akan dibuka tahun depan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ketika ini beliau sedang berunding untuk mengadakan perbincang­an lanjut dengan wakil syarikat berkenaan.

“Saya berharap lebih banyak syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu. Kami semua tidak mahu melupakan cita-cita menjadi doktor selepas menjalani pengajian selama enam tahun di universiti ini,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia