Berita Harian

Budak 4 tahun maut kena beg udara

Kereta dipandu bapa mangsa langgar kenderaan lain

- Oleh Mohammad Ishak

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai akibat terkena tekanan kuat daripada beg udara kenderaan, selepas kereta dipandu bapanya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kampung Gong Kemuntung, di sini.

Nahas pada jam 12.30 tengah hari kelmarin itu menyebabka­n Mohd Syawal Amsyar Mohd Fakhruzi, dilaporkan patah tengkuk akibat tekanan kuat beg udara berkenaan yang menjadi kembung selepas kereta dinaiki berlanggar dengan sebuah kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Besut, Superinten­dan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata sebelum kejadian, kereta dipandu bapa mangsa, Mohd Fakhruzi Sepian, 32, yang berasal dari Subang Jaya, Selangor, dalam perjalanan dari Kampung Raja ke bandar ini.

Berdiri dan bermain

Bagaimanap­un, setiba di tempat kejadian yang sesak dengan kenderaan, bapa mangsa menyuruh Mohd Syawal Amsyar yang sedang berdiri dan bermain di tempat duduk penumpang hadapan supaya duduk.

“Tiba-tiba bapa mangsa menyedari ada sebuah kenderaan di hadapannya dan tidak sempat membrek lalu terlanggar kereta berkenaan menyebabka­n keduadua beg udara kereta berkenaan terkeluar.

Patah tulang tengkuk

“Keadaan ini menyebabka­n Mohd Syawal Amsyar patah tulang tengkuk dan dikejarkan ke Hospital Besut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa Norma Mohd, 30, yang turut berada di dalam kenderaan itu dan duduk di bahagian penumpang belakang serta bapa mangsa, tidak cedera.

Mohd Zamri berkata, kemalangan berkenaan juga turut menyebabka­n anggota polis wanita yang memandu kereta berkenaan terlanggar sebuah lagi kereta di hadapannya.

Katanya, kedua-dua pemandu kenderaan terbabit tidak cedera.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia