Berita Harian

‘TERKENA BUATAN ORANG’

Shakilla maafkan teman yang buat dirinya sengsara

-

Shakilla Khoriri tidak berlakon 2 tahun rawat sakit misteri

Satu persatu dugaan menghimpit pelakon cantik, Shakilla Khoriri, 27, sejak mula terjun ke dunia lakonan, kira-kira 10 tahun lalu.

Dalam kepayahan mencipta populariti, Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri, kuat diuji apabila dirinya dikatakan pernah terkena ‘buatan orang’.

Selama dua tahun menderita, Shakilla mencuba pelbagai cara bukan saja untuk memulihkan diri, malah semangat yang kian rapuh ketika rakan lain gah mencipta kemasyhura­n.

Memberi alasan sakit, Shakilla ‘menghilang­kan’ diri bagi mencari penawar daripada pengamal perubatan tradisiona­l atas kesakitan yang tidak tertanggun­g.

“Memang benar, saya baru sembuh daripada ‘sakit’. Saya tidak tahu secara tepat bila terkena ‘serangan’ itu.

“Namun, sudah lama saya ‘dihantar’ benda khurafat dan syirik ini. Dua tahun saya tidak berlakon gara-gara ‘buatan orang’ ini. Pada mulanya, saya sendiri tidak mahu percaya dan anggap ia sakit biasa,” luah Shakilla kepada HIP.

Semut keluar dari telinga

Terus berkongsi kisah derita, Shakilla memberitah­u, kesan daripada ‘buatan orang’ itu cukup besar hingga dirinya menjadi malas untuk bekerja.

“Saya hanya mahu duduk di rumah. Bayangkan, telinga saya tiba-tiba boleh keluar semut. Memang pelik melihat katil saya tiba-tiba ada semut, sedangkan tidak pernah tumpah makanan manis di situ.

“Saya juga mengalami keluar darah hitam berkarat ketika datang haid.

“Banyak duit habis digunakan untuk berubat ke sana ke mari. Saya reda dan anggap itu ujian yang cukup berat untuk ditanggung,” katanya yang sering ditawarkan watak antagonis ini.

Dicemburui teman artis

Ditanya apakah mungkin dirinya menjadi mangsa teman artis yang cemburu dengan kejayaanny­a, Shakilla sebenarnya enggan mengambil tahu soal itu.

“Saya tidak mahu ambil tahu siapa yang buat kerja jahat itu. Saya hanya ingin kembali sihat dan terus bekerja. Saya bekerja pula untuk membantu menyenangk­an keluarga,” katanya.

Diasak pertanyaan sama, Shakilla memberitah­u, ketika berubat, dia ada dimaklumka­n mengenai individu yang disyaki melakukan angkara itu.

“Paling menyedihka­n dan kalau boleh, saya tak mahu kenang langsung. Namun, individu yang dikatakan melakukan perkara ini adalah teman pelakon sendiri.

“Saya tidaklah rapat dengannya. Tetapi masa berlakon bersama, dia memang layan saya dengan baik. Malah, ketika sakit, dia tiba-tiba bertanya keadaan saya. Mungkin juga dia nak tahu sama ada ‘benda’ yang dihantar itu berjaya atau sebaliknya.

“Saya kurang pasti apa motif dirinya. Buat apa berdengki dengan saya, saya bukan popular pun,” katanya,

Biarpun menderita, Shakilla enggan menyimpan dendam terhadap sesiapa termasuk individu terbabit.

“Saya bukan pendendam. Jika menemui ajal sekalipun, saya tetap maafkan dia. Ikutkan hati hendak tunggu juga dia mengaku. Tapi tak apalah, apa yang lebih utama, saya sihat dan boleh bekerja,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Tak dikenali ramai

Mengenai kelangsung­an kerjaya seninya, Shakilla sedar dirinya bukanlah dikenali ramai.

“Namun, ada juga pihak yang sedar kewujudan saya dan mengikuti perkembang­an saya dari awal berlakon hinggalah sekarang.

“Drama Adam dan Hawa yang mana saya berlakon sebagai adik kepada

Nadiya Nisaa antara yang memberi impak. Watak itu pun diperoleh selepas tujuh tahun saya berkecimpu­ng dalam dunia seni,” katanya.

Ada juga pihak yang sedar kewujudan saya dan mengikuti perkembang­an saya dari awal berlakon hinggalah sekarang” Shakilla Khoriri, Pelakon

 ??  ??
 ?? [ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN / BH ] ??
[ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN / BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia