Berita Harian

Operasi sama seperti skim ‘labu peram’

-

Kuala Lumpur: Sindiket menyasarka­n pelajar universiti sebagai peserta perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), beroperasi sama seperti skim ‘labu peram’, menjanjika­n keuntungan tinggi kepada peserta, tetapi sebaliknya hanya menguntung­kan penganjur.

Pakar Ekonomi daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa, berkata keuntungan lumayan diraih pengasas skim daripada peserta yang membuat bayaran kepada mereka.

“MLM tanpa sebarang produk yang jitu itu adalah sebahagian daripada strategi penipuan perniagaan yang digelar ‘labu peram’ yang membolehka­n pengasasny­a meraih keuntungan hasil kutipan yuran kemasukan atau deposit pelaburan.

Tunggu masa terjebak hutang

“Pelajar yang terjebak dengan skim ini, sebenarnya hanya menunggu masa terjebak dalam kancah hutang dan lebih teruk, pengajian mereka terabai akibat terlalu ghairah mengejar keuntungan,” katanya.

Syed Azizi Wafa berkata, seorang mahasiswa biasanya tidak mempunyai pendapatan tetap dan sekadar bergantung kepada wang pinjaman pengajian Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) atau biasiswa sahaja.

“Masih ramai yang turut bergantung kepada bantuan kewangan daripada ibu bapa untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar dan hanya sebahagian kecil sahaja mempunyai pendapatan tetap pada usia muda.

“Keadaan inilah yang mendorong untuk mereka mencari sumber kewangan lain dan apabila terjebak dengan MLM, wang yang sedia ada habis serta pelaburan yang dibuat hanya sia-sia,” katanya.

Syed Azizi berkata, MLM bersifat ‘labu peram’, ‘Pak Man Telo’ atau ponzi, masih berlaku di negara ini menyebabka­n ramai mangsa tertipu.

“Mereka bukannya menjual produk, sebaliknya menjual keahlian. Biasanya jika ada produk yang dipromosi juga, tidak mempunyai nilai serta tidak asli.

“Dalam skim MLM yang betul, peserta memperoleh keuntungan atau komisyen serta ganjaran lain, hasil jualan produk yang diberi diskaun khas kepada ahli,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia