Berita Harian

Henti sebar khabar angin: Ahmad Bashah

MB Kedah tegaskan kesihatan baik, mula tugas hari ini

- Oleh Suzalina Halid

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan, tahap kesihatann­ya adalah baik dan akan memulakan tugas secara rasmi hari ini selepas bercuti sejak Aidiladha, Isnin lalu.

Sambil meminta semua pihak berhenti menyebarka­n khabar angin kononnya beliau dimasukkan semula ke hospital kerana masalah kesihatan, beliau yang juga Pengerusi UMNO Kedah, berkata berita itu sama sekali tidak berlaku.

“Esok (hari ini), saya akan mula kerja selepas bercuti. Sebelum ini pun, saya berjalan merata buat kerja, jadi saya harap tak payahlah cerita yang bukan-bukan. Hentikanla­h benda yang tak berlaku, yang penting kita kena tengok ke depan untuk pembanguna­n Kedah.

“Dalam politik, biasalah asam garam (fitnah). Nak kata kesal pun tak boleh (penyebaran cerita palsu), cerita macam ini mungkin saya boleh terima, tapi keluarga, anak dan isteri saya pun ada perasaan yang perlu dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Yang di-pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini untuk berangkat ke Kuala Lumpur, semalam.

Tersebar di laman sosial

Sebelum ini, tersebar di laman sosial kononnya Ahmad Bashah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan Pusat Perubatan Prince Court akibat masalah kesihatan, sedangkan beliau hanya menjalani pemeriksaa­n susulan selepas pembedahan akibat komplikasi usus pada Jun lalu.

“Saya perlu patuh arahan doktor untuk memastikan kesihatan pada tahap yang baik. Saya kena dengar arahan doktor, bukan arahan orang ramai yang disebarkan hingga viral. Ada kata saya jatuh lepas pembedahan, hakikatnya sampai sekarang saya tak pernah jatuh.

“Selepas lebih tiga bulan menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang, saya boleh makan seperti biasa, cuma pergerakan harus dihadkan. Doktor kata paling kurang pun enam bulan (untuk sihat sepenuhnya), sekarang baru nak masuk empat bulan,” katanya.

 ?? [ FOTO BERNAMA ] ?? Ahmad Bashah mengiringi Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, untuk berangkat ke Kuala Lumpur, semalam.
[ FOTO BERNAMA ] Ahmad Bashah mengiringi Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, untuk berangkat ke Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia