Berita Harian

BN, UMNO teliti usul persempada­nan semula

-

Arau: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada hujung bulan ini akan memberi perhatian kepada usul persempada­nan semula kawasan pilihan raya menerusi kajian yang dilaksanak­an oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata usul berkenaan juga sebelum itu akan diteliti Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat pada Jumaat ini.

“Syor atau bantahan yang diputuskan hasil penelitian itu akan diserahkan kepada SPR,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Arau, di sini semalam.

SPR mempamerka­n syor Kajian Semula Persempada­nan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Semenanjun­g dan Sabah bermula Khamis lalu hingga 14 Oktober ini.

Kajian dilaksanak­an mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembaga­an Persekutua­n dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembaga­an Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Minta Shahidan, Azlan bekerjasam­a

Dalam perkembang­an lain, Tengku Adnan meminta Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalanny­a yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, bekerjasam­a demi kebaikan parti.

“Jangan kerana perbezaan pendapat, negeri yang kuat menjadi lemah. Nasib baik di Perlis, 90 peratus pengundi adalah Melayu, tetapi kita tidak mahu negeri yang kuat jatuh ke pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Shahidan ketika diminta mengulas teguran Tengku Adnan, berkata beliau tiada masalah dengan mana-mana pihak di negeri ini dan bersetuju dengan pandangan bahawa politik perlu menguasai pentadbira­n kerana dengan panduan politik, kerajaan akan bergerak dengan betul.

“Segala kekurangan dan teguran akan diambil iktibar dan kami akan mengatasin­ya. Ini sebenarnya bukan masalah yang boleh membawa kesan kepada pilihan raya, ia cuma perbezaan pendapat yang hanya dimainkan oleh pihak tertentu,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia