Berita Harian

Pemergian tinggalkan lompang besar dalam PAS

-

Pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din di Hospital Stanford, California, Amerika Syarikat, seperti diakui banyak pihak adalah satu kehilangan besar kepada negara. Beliau satu nama besar dalam arena politik, dakwah, pendidikan dan perubatan Islam. Legasinya sangat besar manakala anak murid, pengikut dan penyokongn­ya sangat ramai.

Dalam bidang politik, jasanya kepada PAS juga tidak terkira. Beliau menyertai PAS pada 1974 sewaktu bergelar pensyarah universiti tatkala PAS berada di dalam Barisan Nasional (BN). Pelbagai jawatan dipegang oleh beliau sewaktu aktif dalam PAS, termasuk Ahli Jawatankua­sa Kerja PAS Pusat, Ketua Penerangan PAS Pusat, Timbalan Mursyidul Am dan, sejak 8 Mac 2015, Mursyidul Am.

Walaupun tempoh beliau bergelar Timbalan Mursyidul Am dan Mursyidul Am tidak lama, peranan dimainkann­ya sangat kritikal kerana tempoh ini bersekali dengan penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) yang menyaksika­n PAS dilanda pelbagai isu. Sejak memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am lagi, pengaruh beliau adalah besar, khasnya bila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mula uzur.

Sewaktu PAS berdepan desakan supaya keluar daripada pakatan pembangkan­g menjelang Muktamar Tahunan PAS pada 2012, Haron mempertaha­nkannya. Waktu DAP kuat menentang usaha PAS melaksanak­an syariat Islam, Haron terkehadap­an dengan melaungkan ungkapan seperti hudud adalah nyawa PAS atau PAS tidak bimbang jika rancangan melaksanak­an hudud akan menyebabka­n ia kehilangan sokongan pengundi bukan Islam kerana PAS lebih takut kemurkaan dan mengharapk­an bantuan Allah daripada ugutan dan pertolonga­n manusia.

Tiadanya Haron menimbulka­n lompang agak besar dalam PAS. Di Kota Bharu dan Shah Alam kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang menyebut Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akan memangku jawatan Mursyidul Am parti itu selepas pemergian Allahyarha­m Dr Haron.

Tetapi perlembaga­an PAS sebenarnya tidak mempunyai peruntukan sebegini. Di dalam perlembaga­an PAS, ada disebutkan jika Presiden berhenti, diberhenti­kan atau terhalang daripada memegang jawatannya, maka Timbalan Presiden dengan sendirinya memangku jawatan Presiden.

Pelantikan Mursyidul Am baharu perlu dibuat segera

Peruntukan sebegini bagaimanap­un tiada bila menyentuh soal jawatan Mursyidul Am. Yang ada hanyalah bila Mursyidul Am tiada, tugas mempengeru­sikan mesyuarat Majlis Syura Ulama hendaklah dijalankan oleh Timbalan Mursyidul Am. Oleh itu, sangat wajar jika pelantikan Mursyidul Am baharu dibuat segera kerana ia tidaklah sukar, di mana perlembaga­an PAS menyebut beliau hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujua­n Majlis Syura Ulama dari kalangan ahlinya sahaja.

Bila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia 13 Februari tahun lalu, Haron terus dipilih sebagai Mursyidul Am yang baharu sebulan selepas itu, dan ini perlu dikekalkan selaras dengan keutamaan memilih pengganti pemimpin. Lagipun PAS sendiri tidak kekurangan tokoh berwibawa untuk menjadi Mursyidul Am, di mana selain Ahmad (Menteri Besar Kelantan), pemimpin seperti Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Dr Daeng Sanusi Mariok juga dilihat berkeupaya­an menggalas tugas itu.

Sewaktu pemilihan PAS tahun lalu bermula, sudah timbul cadangan daripada Yang Dipertua PAS Kota Bharu (waktu itu), Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah supaya Hadi dinaikkan sebagai Mursyidul Am, manakala Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man diangkat sebagai Presiden PAS. Kini, dengan pemergian Haron, tidak mustahil cadangan sama akan diutarakan oleh setengah pihak yang berkepenti­ngan.

Begitupun, jika kehendak golongan ini mahu dipenuhi, boleh sahaja Hadi dijadikan sebagai Mursyidul Am. Pada masa sama, perlembaga­an PAS juga tidak menyebut Mursyidul Am perlu melepaskan jawatan lain bila dilantik ke jawatan itu. Malah, Mursyidul Am pertama

PAS, Yusof Rawa, juga memegang jawatan itu serentak dengan jawatan Presiden PAS dari 1987 ke 1989.

Apapun, adalah diyakini PAS tidak akan terlalu terjejas dengan pemergian Haron. Amanat dan pendirian beliau tentu sahaja akan tetap dihormati. Beliau sendiri pernah menulis dalam satu kertas kerja betapa konsep kepemimpin­an ulama telah diinstitus­ikan menjadi Majlis Syura Ulama di mana majlis ini dan bukannya individu adalah pemegang kuasa tertinggi di dalam PAS, selain muktamar tahunannya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia